UKM Yakin Juara

 

Pasukan bola sepak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mara ke perlawanan akhir Liga Bola Sepak IPT Piala Menteri Pengajian Tinggi  malam ini yakin mampu menjadi juara serta mahu menebus kekalahan pada tahun 2010.

UKM akan bertemu Kolej Komuniti Kedah (KK Kedah) yang menewaskan juara bertahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Stadium UiTM, Shah Alam pada pukul 8.45 malam nanti.

Kapten pasukan UKM, Reuben T. Kathiripillai yang juga pemain ATM berkata, beliau dan rakan sepasukan yakin untuk membawa pulang piala kejuaraan ke Bangi.

Kapten UKM, K Reuben janji beri persembahan lebih 100 peratus

 

“Kami berjanji akan memberikan persembahan lebih daripada 100% dalam perlawanan ini,” kata Reuben yang menjadikan menjadikan Hairuddin Omar atau Hai-0 sebagai idolanya.

Sementara itu jurulatih UKM,  Sulaiman Husin meletakkan pasukan KK Kedah sebagai pasukan pilihan kerana sebahagian besar pemain terdiri daripada pemain Piala Presiden Kedah namun beliau mempunyai resipi tersendiri untuk menumpaskan lawan dalam masa 90 minit permainan.

“Kami layak ke final kerana semangat, fokus dan komitmen yang ditunjukkan pemain disamping pengalaman Reuben dalam memberikan semangat kepada rakan sepasukan,” jelas Sulaiman ketika ditanya resipi kejayaan.

Sulaiman juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan UKM seperti Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEPA) Prof Dr, Othman Karim dan Pusat Sukan UKM terutama pengarahnya Dr. Tajul Arifin Muhamad  yang sentiasa membantu pasukan bola sepak UKM dalam pembangunan dan perancangan dalam memartabatkan perkembangan sukan bola sepak di UKM.

Dalam aksi malam nanti, 3 pemain UKM bakal beraksi untuk final kedua iaitu penjaga gol, Ahmad Nur Fairuz, pemain pertahanan, Abdul Rahman dan pemain tengah, Mohamad Nurshafiq Abdul Kadir. Ketiga-tiga berjanji akan menebus kembali kekecewaan musim 2010 dan berjanji untuk membawa kemenangan untuk semua warga UKM.