UKM Muncul Juara Menewaskan KK Kedah

 

Kesilapan penjaga gol Kolej Komuniti Kedah (KK Kedah) yang membawa kepada gol sendiri Mohamad Nizat Salleh memberikan kemenangan 2-1 buat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekaligus merangkul kejuaraan Liga Bolasepak IPT Piala Menteri Pengajian Tinggi 2012 di Stadium UiTM, Shah Alam.

Aksi kedua-dua pasukan bermula hambar selepas permukaan padang yang basah menyukarkan pemain untuk melakukan hantaran. Tiada jaringan dihasilkan pada babak pertama.

Walaubagaimanapun, semua itu berubah pada babak kedua dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Namun hanya pada minit ke-90, kebuntuan jaringan berjaya dipecahkan menerusi tandukan Ku Nazri Azuan untuk membawa KK Kedah 1-0 dihadapan.

Disaat KK Kedah dipisahkan beberapa saat dari kejuaraan, UKM dihadiahkan sepakan percuma diluar kotak penalti 3 minit kemudian. Kapten pasukan, K.Reuben akhirnya menceriakan kembali penyokong UKM yang hadir selepas berjaya menyempurnakan sepakan percuma tersebut menerusi sepakan kencang yang juga telah menjadi ‘trademark’ nya.

K Reuben (jersi biru) menjaringkan gol dalam masa kecederaan

 

Keputusan 1-1 ini mengheret perlawanan ke masa tambahan. KK Kedah yang juga finalis tahun lepas menerima tamparan selepas pemain mereka, Muhamad Bahiyuffin Razali dibuang padang atas kekasaran terhadap lawan.

Insiden itu nyata membuatkan pemain-pemain KK Kedah tertekan lantas menampilkan permainan yang agak keras sehingga beberapa kali pengadil terpaksa mententeramkan keadaan.

Kelebihan seorang pemain nyata digunakan sebaiknya pasukan UKM dengan menguasai perlawanan pada masa tambahan. Hasilnya, berpunca dari kesilapan pertahanan dan penjaga gol KK Kedah yang membawa kepada gol sendiri pada minit ke-111, UKM berjaya mendapatkan gol kedua yang juga gol kemenangan perlawanan.

Gaya jurulatih UKM, Sulaiman Hussin apabila pengadil meniupkan wisel perlawanan

 

“Pemain saya memang layak untuk menang. Mereka bekerja bersungguh-sungguh dan tidak pernah berputus asa. Tahniah juga kepada KK kedah kerana berjaya memberi saingan yang cukup sengit” jelas jurulatih UKM, Sulaiman Hussin yang begitu gembira dengan kebangkitan anak buahnya walaupun satu ketika pasukannya dilihat sudah boleh melupakan kejuaraan.

Bagi penjaga gol KK Kedah, Muhaimin Mohamad, walaupun memenangi anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir, kejayaan tersebut tidak mampu mennyembunyikan kekecewannya.

“Saya sangat kecewa dengan kesilapan yang saya lakukan. Saya meminta maaf kepada rakan-rakan pasukan kerana mengecewakan mereka. Jika berpeluang beraksi lagi tahun hadapan, saya berjanji untuk membawa pasukan menjuarainya sekaligus menebus kekecewaan malam ini” kata Muhaimin.

Terdahulu, UM berjaya mendapat tempat ke-3 selepas menewaskan UiTM 1-0 dalam penentuan tempat ke-3/4.

Kejayaan UKM ini juga bermakna kontinjen dari Bangi ini berjaya menambah lagi 1 pingat emas menjadikan 6 pingat emas keseluruhan yang dipungut dalam SUKIPT 2012 setakat ini.