UiTM Terus Mengekalkan Status Sebagai Kuasa Besar Peringkat IPT

 

Tamatnya fasa 1 Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2012 menyaksikan UiTM terus mengekalkan status sebagai antara kuasa besar sukan peringkat IPT selepas mendahului kutipan pingat dengan 36 pungutan pingat emas.

Antara acara yang menjadi ‘lubuk emas’ buat pasukan UiTM adalah tenpin boling dan memanah. UiTM turut dibantu dengan pencapaian cemerlang mereka dalam 2 kejohanan IPT terdahulu yang turut dimasukkan dalam kalendar SUKIPT kali ini iaitu Kejohanan Futsal IPT dan juga Kejuaraan Silat Piala Timbalan Perdana Menteri.

UiTM bagaimanapun dicabar hebat 27 pingat emas dari kontinjen UPM yang cemerlang dalam acara akuatik. 15 emas yang dikutip di kolam renang nyata sukar dicabar pasukan-pasukan lain dan tentunya perenang sensasi, Chui Lai Kwan menjadi watak penting dalam kejayaan cemerlang UPM ini.

Lai Kwan yang juga bekas perenang kebangsaan menggondol 13 pingat emas disamping 2 perak untuk membawanya menjadi calon utama Anugerah Olahragawati SUKIPT walaupun kejohanan masih mempunyai baki 6 hari lagi untuk dipertandingkan.

Dalam pada itu, beberapa IPT lain berjaya memecah penguasaan UiTM dan UPM dalam beberapa acara yang dipertandingkan. Unimap mengungguli acara tenis selepas menyapu bersih kesemua 5 pingat emas yang ditawarkan. UTM pula menguasai acara bola tampar dengan kedua-dua kategori lelaki dan wanita berjaya dimenangi pasukan dari selatan tanahair ini.

Sementara itu, dalam kejohanan bolasepak Liga IPT yang turut dimasukkan dalam kalendar SUKIPT, kejutan telah berlaku selepas juara 2 musim berturut-turut, UiTM disingkirkan Kolej Komuniti Kedah diperingkat separuh akhir.

KK kedah berjaya mengatasi juara bertahan ini selepas memenangi penetuan sepakan penalti. Lawan mereka di final, UKM yang menewaskan UM di separuh akhir turut mara melalui kemenangan penentuan sepakan penalti. Pertemuan KK kedah dan UKM ini akan menyaksikan pemenang akan dinobatkan juara baru kali ini sekaligus memecah dominasi UiTM dalam acara bolasepak.

Keseluruhannya, 100 pingat emas dari 7 acara dipertandingkan pada fasa 1 ini sudahpun menemui pemenangnya masing-masing. Selepas ini, tumpuan akan beralih pada fasa 2 SUKIPT yang meliputi 6 acara iaitu olahraga, rugby 7’s, karatedo, catur, sepaktakraw dan bola tampar pantai.

Fasa 2 SUKIPT akan berlangsung dari 7 hingga 11 November ini dengan 65 pingat emas akan menjadi buruan. Maklumat lanjut mengenai SUKIPT boleh dilayari di laman web rasmi SUKIPT iaitu www.sukipt.com.my