Connect with:




Demi melahirkan pemain bola sepak professional yang ‘Inteligence’ yang mampu meningkatkan kecemerlangan bolasepak negara, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah melancarkan program Diploma Eksekutif Bola Sepak di Wisma FAM semalam.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof Datuk Dr Abdullah Said memberitahu program diploma ini meliputi dua mod pembelajaran iaitu sepenuh masa serta separuh masa dan ianya akan bermula pada Mac 2019.

“Disamping perlu mengikuti sesi kuliah atau tutorial , program ini juga bersifat eksekutif di mana ianya bakal memberi peluang buat pemain sedia ada dan pemain lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pembelajaran di peringkat diploma.

“Sebaik menamatkan pembelajaran dalam program ini, mereka boleh menyambung pelajaran di peringkat ijazah dalam bidang sains sukan dan pengurusan sukan. Setakat ini, kami juga dalam perancangan untuk menawarkan program akademik bola sepak pada peringkat Ijazah Sarjana Muda yang mana jangkaannya akan dilancarkan dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran program itu dan penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad UiTM ke Asian University Sport Federation Football Championship 2018.

Abdullah berkata, mereka yang terlibat dengan program ini akan mengambil masa lima hingga 10 semester melibatkan tempoh selama dua tahun setengah hingga lima tahun bagi menamatkan pembelajaran.

Usaha serta inisiatif yang diambil pihak UiTM demi meningkatkan mutu sukan bola sepak di negara kita nyata mendapat sambutan positif dari Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Terima kasih kepada UiTM kerana tampil dengan idea sebegini, ini sesuatu yang positif untuk perkembangan bola sepak di negara kita terutamanya buat para pemain. Selain cemerlang di atas padang sebagai pemain, mereka juga mampu berjaya dalam pendidikan demi masa depan mereka.

“Diharap program ini mampu menjadikan pemain-pemain bola sepak kita lebih ‘educated’ serta berketerampilan menarik kerana program ini jelas mempunyai banyak manfaatnya,” ujarnya.