Connect with:




Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) hari ini mengumumkan penggunaan Teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) bagi setiap perlawanan Liga Juara-Juara dan Liga Europa bermula musim ini.

Mengikut perancangan asal, teknologi tersebut sepatutnya akan diguna pakai buat pertama kalinya dalam kejohanan elit tersebut bermula musim depan.

Namun badan induk itu sebaliknya memaklumkan bahawa pihak mereka akan mula menggunakan teknologi itu bermula peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara serta final Liga Europa.

Selain itu, VAR akan turut digunakan pada perlawanan pusingan akhir Liga Negara-Negara Eropah termasuk Kejuaraan Eropah Bawah 21 yang akan berlangsung tahun hadapan.

“Kami bersedia menggunakan VAR lebih awal daripada perancangan kerana kami yakin ia akan memberi manfaat buat kejohanan kami  selain ia mampu membantu pegawai perlawanan untuk membuat keputusan sukar dan membolehkan kami mengurangkan keputusan tidak tepat,” jelas Presiden UEFA, Alesander Ceferin.

Liga Perdana Inggeris (EPL) akan memperkenalkan teknologi VAR bermula kempen 2019-20 dan ianya juga telah digunakan sepanjang kejohanan Piala Dunia 2018.

Pertembungan pertama peringkat kalah mati Liga Juara-Juara akan kembali bersambung pada 12 Februari 2019 sementara final Liga Europa pula akan berlangsung pada 29 Mei.

Portugal bakal menjadi tuan rumah pusingan akhir Liga Negara-Negara Eropah pada Jun dengan England, Belanda dan Switzerland akan turut ke sana bagi menentukan juara Liga Negara-Negara Eropah yang sulung.

Selain Piala Super 2019 , VAR akan turut digunakan pada peringkat playoff Liga Juara-Juara musim depan.

“Masih dalam perancangan UEFA untuk terus menggunakan VAR di pusingan akhir EURO 2020 dan liga Eropah bagi musim 2020-21 (peringkat kumpulan dan seterusnya) serta bagifinal Liga Negara-Negara Eropah pada 2021,” tambah badan induk itu lagi.

 

Foto : BBC