Connect with:




Barcelona dan Ajax telah melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara selepas menyingkirkan lawan masing-masing. Barcelona berjaya menewaskan Manchester United dengan kemenangan selesa 3-0 di Nou Camp untuk kemenangan 4-0 secara agregat manakala Ajax menyingkirkan cabaran Juventus selepas mengejutkan gergasi Itali itu di Turin dengan kemenangan 2-1 dan 3-2 secara agregat.

Awal pagi esok akan menyaksikan dua lagi slot akan diisi sama ada oleh Liverpool, Manchester City, Tottenham Hotspur atau FC Porto. Yang pastinya akan ada wakil dari England selepas City dan Spurs bertemu.

City akan cuba menyekat kemaraan Spurs di Etihad selepas tewas 0-1 di gelanggang lawan hasil jaringan Son Heung-Min. City adalah satu pasukan yang agak kebal di halaman sendiri, namun Spurs mungkin dapat melakukan kejutan kali ini. Skuad kendalian Mauricio Pochettino akan menguji taktikal Pep Guardiola untuk menyekat peluang mereka untuk meraih empat kejuaraan musim ini. Mereka juga akan bertemu dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada hari Sabtu ini.

Satu lagi slot akan ditentukan oleh Liverpool atau FC Porto. Liverpool akan bertandang ke Estadio do Dragao dengan bekalan dua gol selepas menang di Anfield. Kelebihan mungkin berpihak kepada anak buah Jurgen Klopp yang dilihat bersemangat untuk memenangi setiap perlawanan selepas berjaya menewaskan Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Namun, Liverpool perlu waspada ancaman Porto yang bermain di halaman sendiri. Sorakan daripada penyokong mungkin sedikit sebanyak akan membantu menyemarakkan lagi semangat pemain-pemain Porto untuk mencari gol.

Barcelona akan menantikan lawan mereka di separuh akhir sama ada Liverpool atau FC Porto, manakala Ajax akan bertemu sama ada Manchester City atau Tottenham Hotspur.

Foto : Sportskeeda