Connect with:




Emeriah Arab Bersatu (UAE) yang memecat pengendali pasukan kebangsaan mereka sebelum ini, Bert Van Marwijk telah mengumumkan penggantinya secara rasmi pada Isnin.

Individu yang bakal menggalas tanggungjawab tersebut ialah Ivan Jovanovic – pengendali berusia 57 tahun yang berasal dari Serbia. Pernah menjawat jawatan pengurus beberapa pasukan seperti APOEL dan Al Nasr, Jovanovic berdepan tugas besar bagi mengembalikan reputasi UAE selaku antara pasukan gergasi Asia.

Kempen kelayakan Piala Dunia 2022 ternyata kempen yang buruk buat UAE setakat ini selepas hanya mampu mencatat dua kemenangan termasuk kemenangan tipis 2-1 ke atas Malaysia di Bukit Jalil. Lebih parah, UAE tewas kepada Vietnam dan Thailand di gelanggang lawan.

UAE seterusnya tersingkir di peringkat kumpulan dalam saingan Piala Teluk yang akhirnya membuatkan Van Marwijk ditunjukkan jalan keluar.

Dengan baki 4 perlawanan dalam kempen kelayakan Piala Dunia, Jovanovic telah diberi peringatan yang cukup jelas dari Persatuan Bolasepak UAE iaitu hanya kemenangan dan layak ke pusingan seterusnya jika beliau mahu terus membimbing pasukan tersebut.

Tugasan pertama Jovanocic akan bermula pada Mac nanti iaitu menentang Harimau Malaya di Dubai.