“Ini bukan kejohanan yang mementingkan individu tapi berpasukan, semua perlu mengambil peranan. Memang kita tahu pemain di luar sana seperti Liew Daren, Chong Wei Feng dan Zulfadli memiliki kaliber,” kata ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek, memberi bayangan awal bahawa kesemua pemain ke kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, Februari depan yang juga pusingan kelayakan Piala Thomas 2018 adalah dari BAM termasuk untuk acara beregu lelaki.

Menurutnya, pihaknya masih menunggu Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) selesai untuk mengumumkan senarai pemain.

“Saya tidak boleh pandai-pandai buat kenyataan di sini. Ini adalah kenyataan dan pengumuman yang penting, biar saya ajukan senarai nama kepada presiden (Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria), selepas diterima sebulat suara barulah akan ada pengumuman,” katanya.

Norza dijangka akan mengumumkan senarai pemain ke Kejohanan Berpasukan Asia untuk kelayakan Piala Thomas dan Uber Khamis ini sebaik selesainya mesyuarat C&T.

Misbun turut mengakui beliau belum mempunyai perancangan untuk memanggil pemain luar termasuk Zulfadli Zulkiffli untuk ke kejohanan berkenaan.

Legenda perseorangan lelaki negara itu bagaimanapun menjelaskan beliau masih lagi mengamalkan sikap terbuka untuk menerima kehadiran pemain dari luar Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Cuma ia terlintas di kepala saya sebelum ini (pengambilan pemain profesional) tapi apabila kita mengamalkan sikap terbuka bagaimana pula mereka hendak menerima latihan yang sedang kita jalankan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

Jelasnya, apa yang merisaukannya ialah kesanggupan pemain luar untuk bertungkus-lumus bekerja keras bersama-sama dengan wakil BAM.

 

Sumber: Harian Metro
Foto Kredit : Badmintonplanet