Penyertaan sulung Juan Monaco membawa tuah.

 

Penyertaan kali pertama di Kuala Lumpur membawa tuah kepada pemain Argentina, Juan Monaco selepas merangkul kejuaraan tenis Malaysian Open KL 2012 di Stadium Putra Bukit Jalil.

Namun kemenangan tersebut bukanlah mudah diperolehi pilihan kedua kejohanan ini selepas beliau dipaksa berhempas pulas selama 3 jam oleh lawannya, Julien Benneteau dari Perancis sebelum menang 7-5, 4-6, 6-3.

Set pertama menyaksikan Benneteau, pilihan ketujuh kejohanan berjuang sehingga berjaya menggagalkan 8 kali mata akhir Monaco. Walaubagaimanapun, kesilapannya berjaya membuka ruang buat Monaco utk menang set pertama 7-5

Benneteau kemudiannya membalas kekalahan di set pertama dengan bangkit menang set kedua 6-4 untuk membawa perlawanan ke set penentuan. Dengan sorakan gemuruh penonton yang hadir, kedua-dua pemain ini menunjukkan aksi menarik dengan terikat 2-2 di set penentuan sebelum Monaco terus menguatkan cengkaman mendahului 5-2.

Julien Benneteau tidak mudah mengaku kalah

 

Benneteau cuba merapatkan jurang namun gagal menyekat kemaraan lawannya dengan Monaco menang 6-3 untuk memberikan gelaran ke-4 buat dirinya dan pertama di gelanggang keras pada tahun ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yg menjayakan kejohanan ini termasuk penonton-penonton Malaysia. Ini minggu terbaik saya dan saya pasti akan kembali ke sini tahun depan untuk mempertahankan gelaran ini” jelas Monaco kepada semua yang hadir sejurus memenangi perlawanan tersebut.

Selaku juara, Monaco membawa pulang trofi, wang tunai US 153, 400 dan menambah 250 mata untuk mencerahkan lagi peluangnya ke ATP World Tour Master di London, November nanti.