Menjelang perlawanan tumpuan pada hujung minggu ini, penyerang The Bos Gaurus, Gilmar José da Silva Filho melaungkan keyakinan untuk mempamerkan aksi terbaik bagi merapatkan jurang mata bersama pendahulu liga itu.

Perak bakal berhadapan JDT di Larkin Sabtu ini dan ia merupakan peluang terbaik buat mereka untuk meneruskan rentak kemenangan selepas membenam PKNP 4-3  di laman sendiri minggu lepas.

“Pasukan sekarang berada dalam ‘mood’ terbaik selepas kemenangan lepas, saya percaya dengan gabungan pemain tempatan dan import bakal memberikan keputusan yang positif buat kami kelak,” ujar Gilmar yang sudah mengumpul 10 gol dan 5 bantuan gol setakat ini buat Perak TBG dalam semua kejohanan.

“Dua pemain dari Brazil yang lain, Leandro (Dos Santos) & Wander (Luiz) juga merupakan pemain yang sudah saya kenal lama dan mereka telahpun membuktikan kemampuan mereka dalam Liga Super sejak 2-3 tahun yang lepas. Saya percaya dengan pengalaman yang mereka ada mampu memberikan ramuan terbaik untuk berdepan dengan JDT,” katanya lagi.

Perak kini berada di tangga ke-2 liga (23 mata) di belakang JDT dengan jurang 6 mata (29).