Connect with:




Biarpun saingan masih berbaki tiga pusingan,  trio pelumba negara, Nabil Jeffri bersama Jazeman Jaafar dan Weiron Tan tidak akan beraksi lagi di Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) bagi musim 2018-2019.

Kekangan dana yang dimiliki menjadi faktor utama hingga terpaksa membuat keputusan drastik yang mengecewakan pelumba berkenaan.

Menurut laporan media, mereka hanya ketinggalan tiga mata daripada penghuni tangga kedua manakala jentera bernombor 38 Jackie Chan DC Racing pula mendahului dengan kelebihan 10 mata berbanding trio negara itu.

Mengulas mengenai keputusan berkenaan, Nabil menyifatkan ianya amat mengecewakan dan peluang sepatutnya diberikan kepada mereka untuk menamatkan musim ini sebelum membuat keputusan itu.

“Nabil pun terkejut juga tapi perkara ini sudah lama saya tahu, dalam dua bulan lalu. Hanya tinggal tiga perlumbaan saja lagi… bermula Mac ini hingga Jun depan dan selepas itu musim berakhir. Sepatutnya, habiskanlah musim ini.

“Kedudukan kami di tempat yang baik. Kami bukan berada dalam tangga yang corot. Saya rasa kecewa kerana tidak dapat menamatkan musim ini,” ujarnya.

Sebagai rekod, mereka pernah menamatkan saingan di tempat kedua di Litar Silverstone pada Ogos dan keempat di Le Mans, Shanghai dan Spa-Francorchamps.

Bukan itu sahaja, mereka juga pernah memenangi perlumbaan WEC di Fuji, Oktober lepas.

Foto: Jota Sports