Connect with:




Susulan membuat kejutan enggan mewakili negara minggu lalu, trio memanah compound negara membuat pusingan ‘U’ dengan menarik balik keputusan tersebut selepas mendengar penjelasan mengenai beberapa perkara dengan Majlis Sukan Negara (MSN).

Kata sepakat tersebut dicapai sejurus Juwaidi Mazuki, Zulfadhli Ruslan dan Lee Kin Lip menghadiri perbincangan bersama Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan pegawai Persekutuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi turut meluahkan kelegaan dengan keputusan yang diambil selepas terdapat laporan bahawa tiga pemanah berkenaan dikatakan tidak berpuas hati dengan isu elaun yang diberikan.

Memetik laporan Berita Harian, setelah mendapat perincian yang jelas berkaitan kontrak dengan MSN, Juwaidi dan rakan sepasukan sebulat suara bersetuju kembali mewakili negara dalam kejohanan akan datang.

“Ia berjalan lancar dan kami akan kembali mewakili negara dengan kontrak sebagai atlet sepenuh masa.

“Perkara berkaitan elaun sebenarnya tidak menjadi isu. Malah kami dapat jumlah layak ditawarkan. Sebenarnya terdapat beberapa perkara lain yang timbul dan ia sudah dibincangkan tadi,” jelasnya.

Apabila di tanya sebab kenapakah perkara itu tidak dikemukakan dengan lebih awal, Juwaidi memberitahu ianya mungkin akan menimbulkan reaksi balas yang lain.

Dalam pada itu, mereka yang bertugas sebagai atlet sepenuh masa dan mengikut kelayakan, dijangka menerima elaun bulanan berjumlah RM2000-RM3000.

Foto: BERNAMA