Connect with:




Sukan permotoran tidak terhad kepada perlumbaan MotoGP dan Formula 1 semata-mata. Banyak lagi kejuaraan yang menarik di seluruh dunia dan salah satu daripadanya ialah perlumbaan endurance.

Bagi peminat perlumbaan endurance, siri Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) adalah perlumbaan berprestij yang menjadi ikutan. Semalam, trio negara iaitu Jazeman Jaafar, Nabil Jeffri dan Weiron Tan mencipta sejarah menjadi gandingan pertama dari Malaysia yang memenangi perlumbaan dalam siri tersebut.

Sejarah tersebut tercipta di Fuji, Jepun selepas ketiga-tiga pelumba yang memandu untuk pasukan Jackie Chan DC Racing memenangi perlumbaan kelas LMP2.

Jazeman dalam kenyataannya di laman web kejuaraan memberitahu perlumbaan yang dihadapi mereka adalah sangat sukar pada awalnya terutamanya pada tiga pusingan pertama.

“Saya membuat keputusan untuk masuk ke pit lebih awal selepas trek semakin kering. Kami berjaya mengekalkan kedudukan, terima kasih kepada jentera kami yang sungguh menakjubkan minggu ini bermula dari sesi latihan, kelayakan dan sehinggalah perlumbaan sebenar.

“Kejayaan ini membuatkan kami lebih bersemangat untuk mengejar kejuaraan musim” kata Jazeman.

Selepas empat perlumbaan, gandingan dari Malaysia ini berada di tangga ketiga keseluruhan berkongsi 86 mata bersama satu lagi pasukan Jackie Chan DC Racing di tangga kedua. Tempat pertama ketika ini menjadi milik pasukan Signatech Alpine Matmut yang hanya berkelebihan satu mata di hadapan.

Terdapat 4 lagi baki perlumbaan dalam saingan musim 2018/19 ini. Perlumbaan seterusnya akan diadakan di Shanghai, 18 November diikuti Sebring, Amerika Syarikat (15 Mac), Spa,Belgium (4 Mei) dan diakhiri di Perancis bersempena dengan perlumbaan berprestij 24 Hours of Le Mans pada 18 Jun.

Kredit Foto: Nabil Jeffri