Connect with:




Bukan calang-calang lokasi dipilih untuk penganjuran siri perlumbaan Toyota Gazoo Racing Festival dan Toyota Vios Challenge.

Kalau di tapak stadium tu biasa dah, kali ini lebih mengejutkan apabila bekas pengkalan udara TUDM di Sungai Besi dijadikan medan “peperangan” bagi perlumbaan pusingan kedua siri tersebut pada Sabtu dan Ahad depan (9-10 November 2019).

Dikenali hari ini sebagai Bandar Malaysia, lokasi kali ini agak luar biasa bagi barisan pemandu-pemandu selebriti, amatur dan profesional yang akan bersaing dengan adanya landasan kapal terbang sepanjang 1,199 meter yang digunakan.

Jarak keseluruhan litar ialah 1.7km dan tiada sesiapapun yang mempunyai pengalaman memandu di atas landasan kapal terbang.

“Perlumbaan kali ini sudah pasti mencabar dengan ketiadaan data yang boleh membantu persiapan kenderaan. Kami hanya ada masa yang singkat untuk menganalisa keadaan litar dan sesiapa yang mampu menterjemahkan peluang ini kepada persiapan kereta akan memperolehi kelebihan,” kata pemandu drift negara Tengku Djan Ley yang akan bersaing dalam kategori Super Sporting bagi pemandu-pemandu profesional.

Bagi seorang lagi pemandu profesional Kenny Lee, sesi latihan dan kelayakan masa akan digunakan sebaik-baiknya untuk mencari “racing line” terpantas mengelilingi litar, dan juga untuk mengenalpasti “braking zone”.

“Kami tidak pernah berlumba di atas landasan kapal terbang. Ia mungkin mempunyai cengkaman yang baik atau sebaliknya, permukaan yang licin dan inilah yang menjadi tanda tanya yang besar.”

Bagi pemandu rali Kenneth Koh yang akan bersaing di dalam kategori Sporting bagi pemandu-pemandu amatur, peluang berlumba di atas landasan kapal terbang menimbulkan perasaan yang menyeronokkan bercampur dengan gementar.

“Saya teruja tapi pada masa yang sama, agak gementar kerana kami tidak dapat menjangka keadaan litar sebenar.”

Bagi para penonton, aksi di luar litar tidak kurang hebatnya dengan persembahan drift oleh pemandu-pemandu profesional dari Jepun, pertandingan Bey Blade dan simulasi perlumbaan, konsert oleh artis-artis tempatan, pameran dan uji pandu pelbagai model kenderaan Toyota, dan jualan barangan.

Masuk adalah percuma dan acara akan berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang.