Bagi pengikut futsal Malaysia, nama TOT United sememangnya tidak asing lagi dikenali sebagai antara pasukan amatur paling digeruni dalam dan luar negara.

Menjuarai banyak pertandingan dalam negara serta terbang ke serata dunia, TOT United akan kembali ke Sao Paolo untuk menyertai Neymar Jr’s Five – kali kedua berturut-turut selepas melakukan perkara yang sama tahun lalu.

Jika tahun lalu mereka tersungkur awal, kali ini mereka berazam untuk memperbaiki kedudukan malah bagi salah seorang bintang pasukan, Muhammad Hazren, tidak mustahil pasukannya boleh bergelar juara untuk edisi 2017 ini.

Hazreen (kiri) dan Azizi turut menghiasi majalah Dunia Sukan edisi Julai yang kini boleh didapatkan di pasaran.

“Kami telah belajar dari kesilapan tahun lepas. Apa yang dapat kami simpulkan, tahun lalu kami mengalami sedikit masalah kecergasan. Namun untuk kali ini, kami sudah bersiap sedia sepenuhnya.

Seorang lagi pemain pasukan, Hazizi Mansor pula berkata, “Satu cabaran besar beraksi di Brazil ialah purata suhu 21 darjah yang membuatkan kami tidak berpeluh. Agak kekok bagi kami.

“Faktor saiz fizikal pemain pula bukanlah masalah besar. Ini kerana juara tahun lalu juga boleh dikatakan sama sahaja saiz badan mereka seperti kami”.

Dengan 3 pemain mereka terpilih menyertai skuad kebangsaan yang baharu pulang dari kempen Kejohanan Futsal Antarabangsa Persatuan Bola Sepak China (CFA) 2017 di Hunan baru-baru ini, mereka mempunyai sesi latihan penuh yang agak singkat sebelum berlepas ke Brazil pada 4 Julai dan memulakan kejohanan pada 8 hingga 9 Julai.

Neymar Jr’s Five ialah kejohanan bola sepak lima sebelah global yang diilhamkan oleh pemain Brasil dan Barcelona Neymar Jr, dengan cara permainanan bukan konvensional. Peraturannya mudah; apabila satu pasukan gagal mempertahankan goal, mereka perlu hantar seorang ahli pasukan keluar. Setiap pusingan akan berlansung selama sepuluh (10) minit, atau sehingga satu kumpulan kehilangan kesemua pemainnya – inilah sebab kejohanan ini laju, teknikal, dan taktikal. Apabila wisel ditiup, pasukan dengan pemain
paling ramai menang pusingan itu.