Connect with:




Pencarian selama empat bulan berakhir apabila TOT United C menumpaskan 23 pasukan yang lain untuk merangkul gelaran Raja Futsal (Malaysia) 2019 dan membawa pulang hadiah berupa RM100,000, hadiah utama wang tunai terbesar yang ditawarkan untuk pertandingan futsal di Malaysia.

Ketua Jualan Konsumer Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi), Cheng Weng Hong bersama Eksekutif Era Music, Muhammad Eizmier, Ketua Pegawai Pemasaran Figos Malaysia, Muhd Faisal dan Timbalan Pengarah Negara Perniagaan Pengguna Kumpulan (Malaysia) Huawei, Matthew Ng turut menghadiri perlawanan akhir Raja Futsal yang telah berlangsung di Stadium Panasonic, Shah Alam untuk menyampaikan hadiah kepada pasukan-pasukan yang berjaya.

TOT United C telah mempamerkan persembahan yang terbaik untuk meraih kemenangan seterusnya bergelar juara dengan mengalahkan Dani FC A (Central) yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 di tempat kedua. Ale-Ale FC A (Southern) dan Era Vengers MacFC (Pasukan Era Wildcard) yang berkongsi tempat ketiga telah membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,500.

Cheng berkata, “Raja Futsal merupakan antara inisiatif Digi untuk terus berinteraksi bersama pelanggan, terutamanya para belia melalui aktiviti yang bermakna bagi mereka seperti futsal yang merupakan sukan kegemaran warga Malaysia. Kami amat kagum dengan semangat kesukanan yang dipamerkan oleh setiap peserta sepanjang kejohanan ini, dan amat berbesar hati apabila ramai warga Malaysia dari seluruh negara datang bersama untuk mengambil bahagian dalam perlawanan Raja Futsal 2019 .

Muhammad Sheqal bin Salim Ketua, Pasukan dan Pemain Terbaik bagi TOT United C berkata, “Ini merupakan kejayaan yang besar bagi kami. Ada diantara kami yang menyertai Raja Futsal tahun lepas tapi gagal untuk memasuki peringkat akhir. Tahun ini kami telah membuat persediaan awal dengan membuat latihan dari mula dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan kami mampu keperingkat akhir dan seterusnya memenangi pertandingan ini. Kami dedikasikan kemenangan kami kepada semua ahli pasukan, keluarga serta rakan-rakan yang sentiasa menyokong kami.”

Perlawanan akhir turut diwarnai dengan pelbagai aktiviti menarik, termasuk penganjuran klinik latihan khas bagi individu bawah 15 tahun oleh legenda bola sepak tanah air, Azman Adnan, serta penampilan istimewa oleh bintang futsal wanita negara, Intan Serah dan Steffi Sidhu. Para pengunjung juga telah berpeluang untuk bertemu mesra dengan legenda-legenda bola sepak negara seperti bekas pemain pasukan kebangsaan, K.Gunalan dan Mubin Mokhtar, dan menyaksikan mereka beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Super Lawak FC.

Selebriti seperti Didie Alias, Zizi Kirana dan Sham Visa juga telah memeriahkan perlawanan akhir ini dengan menghiburkan para pengunjung. Terdapat juga pelbagai booth yang menawarkan pelbagai permainan dan tawaran istimewa yang turut dibuka oleh oleh rakan-rakan kongsi Digi yang turut hadir untuk memeriahkan acara tersebut. Selain kemudahan seperti penyediaan trak makanan untuk membolehkan para pengunjung menjamu selera, mereka juga dapat mengecas peranti bimbit mereka di zon pengecasan khas di booth Digi untuk membolehkan mereka kekal terhubung sepanjang hari berkenaan.
Edisi Pertandingan Raja Futsal yang kedua telah membuka tirai pada bulan Ogos lalu menerusi pusingan kelayakan peringkat negeri di 6 daerah, termasuk Sabah dan Sarawak. Pertandingan tersebut dibuka kepada warga Malaysia yang berusia 18 hingga 30 tahun, dan sebanyak 480 buah pasukan yang merangkumi lebih daripada 4,000 pemain telah menyertai pertandingan ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai Raja Futsal, sila layari rajafutsalmy.com.