Skuad TOT United C sekali lagi melakar sejarah dalam arena futsal negara apabila muncul juara Grand Final Kejohanan Futsal Neymar Jr’s peringkat kebangsaan di gelanggang futsal IM4USentral Puchong baru-baru ini.

TOT United C menentang RTG Badboyz pada peringkat final, berakhir dengan catatan kemenangan 2-0 melalui hasil jaringan Azwann Ismail.

Hasil kejayaan TOT United C itu bakal membawa tugas utama negara apabila akan diterbangkan ke Sao Paolo, Brazil bagi menyertai Kejohanan Futsal Neymar Jr’s peringkat antarabangsa yang membabitkan penyertaan 52 negara.

Neymar merupakan bintang bagi pasukan Brasil dan Barcelona dijangka akan turun padang bagi merasmikan pertandingan tersebut sambil menyaksikan kejohanan anjuran Redbull International itu nanti.

Antara barisan pasukan TOT United C yang bakal berentap di Brazil nanti ialah Hazizi Mansor, Azwann Ismail, Syed Aizad Daniel Syed Nasir, Mohammad Azri Rahman, Muhammad Hazreen Mohamad Ali, Abu Haniffa Hasan dan Mohamad Ali Mahat.

Ini kali kedua TOT United C menyertai kejohanan yang sama tetapi aksi mereka tahun lalu sekadar berakhir di peringkat kumpulan.