Connect with:




Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) hari ini mengumumkan perlantikan tokoh korporat, Tan Sri Tony Fernandes yang mempunyai pengalaman serta pencapaian yang menakjubkan baik di dalam atau luar negara sebagai pengerusi baru badan itu berkuat kuasa serta merta.

“Kita tidak boleh nafikan penglibatan serta kejayaan beliau dalam bidang komersial, termasuk industri penerbangan (AirAsia), hiburan (Warner Music), perhotelan (Tune Hotels), penyiaran (The Apprentice Asia) merupakan sebahagian daripada pencapaian beliau yang amat menakjubkan dan itu adalah faktor utama perlantikan beliau.

“Anugerah yang diterima seperti “CEO of The Year Award” dan “Entreprenuer of the Year Award” membuktikan bahawa beliau seorang yang mempunyai bakat keusahawanan, kreativiti serta kepimpinan yang tinggi,” menurut kenyataan Pejabat Menteri Belia dan Sukan, di sini hari ini.

Pelantikan Tony itu juga diharap mampu menambahbaik struktur dan operasi PSM serta memulihkan keadaan kewangan PSM yang berhadapan kerugian RM11 juta.

“Diharapkan dengan kehadiran beliau mampu merancakkan lagi aktiviti belia, sukan, rekreasi dan hiburan yang melibatkan pelbagai aset di bawah PSM secara meluas.

“Bukan saja dari segi penjanaan pulangan ekonomi yang baik kepada negara, malah dapat merealisasikan hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membentuk budaya aktif dan sihat dalam kalangan rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu lagi.

Nama Tony sudah tidak asing lagi dalam bidang sukan apabila beliau merupakan individu yang memiliki separuh daripada kelab yang pernah beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris iaitu Queens Park Rangers (QPR) dan beliau juga merupakan pengasas pasukan Formula 1, Caterham F1 Team.

“Jika kita lihat penajaan AirAsia dalam aktiviti sukan di negara ini seperti Akademi Badminton AirAsia serta pertandingan e-sports telah membuktikan bahawa beliau mempunyai minat mendalam dalam menaikkan mutu sukan negara. PSM sangat menagih kemahiran yang dimiliki Tony mengenai selok-belok pembangunan dan promosi sukan bertaraf antarabangsa”.

Bulan lalu PSM mengumumkan seramai 11 ahli lembaga pengarah lantikan politik di bawah KBS ditamatkan perkhidmatan termasuk pengerusi PSM sebelum ini, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz.