Bilakah kali terakhir Everton menewaskan seteru setempat mereka, Liverpool?

Jawapannya adalah pada Oktober 2010 menerusi kemenangan 2-0 di Goodison Park hasil jaringan Tim Cahill dan Mikel Arteta. Hampir 8 tahun juga lamanya.

Kita beralih kepada soalan yang lebih mencabar? Bilakah kali terakhir Everton mengalahkan Liverpool di Anfield?

Ya, Liverpool pernah tewas dalam Merseyside Derby di gelanggang keramat mereka iaitu Anfield. Jika anak anda lahir pada tarikh kali terakhir tewasnya Liverpool di Anfield kepada Everton, anak anda sudah berusia 19 tahun.

Ya, Everton tak pernah menang di Anfield dalam tempoh 19 tahun sehingga ke saat artikel ini ditulis (5 Januari 2018).

Ya (sekali lagi), kali terakhir perkara itu berlaku adalah pada 27 September 1999. Sebagai rekod, 1999 merupakan tahun kematian penggusti terkenal Owen Hart, lahirnya Putera Raja Denmark Prince Nikolai serta berlakunya penceraian Angelina Jolie (bukan dengan Brad Pitt atau Billy Bob Thornton tetapi dengan suami pertamanya – Jonny Lee Miller).

Berbalik kepada derbi Merseyside yang dianggap sebagai satu perlawanan setempat yang mesra (penyokong kedua-dua pasukan boleh duduk bersebelahan), bekas penyerang Everton, Kevin Campbell berkongsi detik kemenangan pasukannya 19 tahun lepas di Anfield.

“Tiga pemain menerima kad merah pada perlawanan tersebut. Dua dari Liverpool (Sender Westerveld dan Steven Gerrard) serta seorang dari Everton iaitu Francis Jeffers.

“Ia satu perlawanan yang ‘panas’. Penjaga gol Liverpool, Westerveld bertumbuk dengan rakan penyerang saya, Jeffers. Dua-dua bertumbuk macam orang gila!

“Saya pula di ‘parap’ dengan teruk oleh Gerrard sehingga memaksa pengadil melayangkan kad merah kepadanya.

“Bagaimanapun ia satu saat indah buat saya kerana kami memenangi perlawanan itu 1-0 di Anfield. Lebih manis, saya yang menjaringkan gol kemenangan tersebut” kata Campbell ketika melakukan pengambaran bersama Dunia Sukan baru-baru ini.

Campbell masih geram dengan Gerrard yang memarapnya 19 tahun lalu. Tidak semena-mena wartawan Dunia Sukan yang memang ada iras-iras Gerrard ini dicekik. 

Secara keseluruhan, Campbell telah mencetak 3 gol di Anfield sepanjang menyarung jersi Everton. Menjelang perlawanan Piala FA pada Sabtu ini, Campbell berharap rekodnya sebagai penjaring gol kemenangan terakhir Everton di Anfield akan berakhir.

“Saya tak mahu pegang rekod tersebut. Saya mahu Everton menang. Sudah terlampau lama kami tidak memenangi perlawanan di Anfield” katanya lagi.

Mengulas mengenai prestasi Everton musim ini, Campbell percaya Everton sudah kembali ke landasan sebenar selepas diambil alih oleh pengurus baharu, Sam Allardyce.

“Allardyce berjaya membawa Everton mencuri satu mata ketika menentang Liverpool dalam aksi liga dua minggu lepas. Pemain-pemain juga tampak lebih bersemangat berbanding ketika berada di bawah pengurus terdahulu, Ronald Koeman.

“Apa yang perlu Everton lakukan sekarang adalah membeli pemain berkualiti. Bukan seorang sahaja, perlu lebih dari seorang.

Bagi Campbell, selain posisi penyerang, Everton perlu mendapatkan pemain berkualiti di bahagian pertahanan dan sayap.

“Rooney memang penyerang yang unggul sementara Dominic Calvert-Lewin memang berbakat besar namun itu masih belum cukup.

“Saya tidak begitu mengenali Cenk Tosun. Reputasinya di Turki memang hebat tetapi perlu diingat, aksi di England jauh lebih berbeza”  pemain yang turut pernah beraksi untuk Arsenal, Notthingham Forest, Trabzonspor dan West Brom.

Campbell berada di Malaysia dalam tempoh seminggu bagi menyempurnakan tugasnya selaku tetamu jemputan untuk siaran langsung perlawanan EPL yang dibawakan oleh Astro SuperSport.

Beliau turut terlibat dengan beberapa lagi program untuk Astro Supersport seperti Man on the Street, B4KO dan League of Legend. Anda boleh menonton program tersebut di laman youtube Stadium Astro


Former Arsenal and Everton striker Kevin Campbell was in Malaysia for Astro SuperSport’s coverage of the English Premier League.