Connect with:




Sempena hari mengundi Pilihanraya Umum 14 yang berlangsung esok, Dunia Sukan akan memberi peluang kepada anda semua untuk rileks dan bertenang sambil melihat amanat terakhir dari setiap wakil parti yang akan bertanding esok.

Sambil-sambil tu, kami selitkan sekali beberapa tokoh dan pemimpin sukan yang akan bertanding di PUR14 kali ini (kena la jugak buat post pasal PRU walaupun kami laman web sukan, baru la kena gaya).

Paling diketahui umum pastinya calon PAS untuk Parlimen Pokok Sena, Radhi Mat Din. Bekas pemain pasukan Kedah dan Malaysia ini akan menentang salah seorang penyokong kuat pasukan Kedah itu sendiri, Mahfuz Omar dari Parti Amanah Negara.

Bercakap mengenai bolasepak, selain Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Muhammad Hassan yang sudah pun muncul sebagai pemenang DUN Rantau, beberapa Presiden persatuan bolasepak lain juga akan bertanding.

Antaranya, Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan yang bertanding di Parlimen Parit Buntar, Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United, Datuk Seri Idris Haron (DUN Sungai Udang), Presiden Persatuan Bolasepak Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah (DUN Suka Menanti) dan Presiden Persatuan Bolasepak Sabah, Tan Sri Musa Aman di DUN Sungai Sibunga.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam akan bertanding di Parlimen Hang Tuah Jaya. Ali merupakan Persatuan Karate Malaysia (MAKAF) dan Presiden Persatuan Silat Kebangsaan (PESAKA).

Seorang lagi wakil dari PESAKA yang bertanding PRU kali ini ialah Setiausaha Agungnya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin di DUN Gombak Setia.

Ada dua pemimpin sukan wanita yang bertanding iaitu Presiden Persekutuan Dodgeball Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Masjid Tanah serta Datuk Suraya Yaacob, Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia di DUN Sungai Tiang, Kedah. Suraya juga merupakan exco Persatuan Bolasepak Malaysia.

Turut bertanding, dua pemimpin Barisan Nasional di Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim (Presiden Persatuan Renang Amatur Malaysia) di Parlimen Arau dan Presiden Persatuan Chess Malaysia, Datuk Zahidi Zainul Abidin di Kangar.

Presiden Malaysia Rugby, Datuk Shahrul Zaman Yahya di DUN Rungkup sementara Presiden Persatuan Memanah Malaysia, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum di Kubang Pasu.

Seorang lagi calon yang datang dari pemimpin persatuan sukan ialah calon BN di Parlimen Bangi, Liew Yuen Keong. Beliau merupakan Presiden Persatuan Bola Keranjang Berkerusi Roda Malaysia. Menariknya, beliau akan menentang seorang yang sememangnya aktif dalam bersukan, Ong Kian Ming – pemenang Garmin MP Step Challenge.

Selamat bertading kepada semua. Yang mengundi, jangan lupa keluar awal.