Connect with:




Pemimpin bola sepak negara berpeluang untuk menimba ilmu apabila kehadiran lebih 2,000 pemimpin dan tokoh penggerak bola sepak dunia pada Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia Asia (WFS) yang berlangsung hari ini dan esok.

Penyertaan daripada 70 kelab bola sepak terkemuka seluruh dunia terutamanya Liga Sepanyol (LA Liga) dan Liga Perdana Inggeris (EPL) mampu mengubah landskap bola sepak negara untuk lebih maju membabitkan bidang perniagaan dan sains sukan.

Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, sidang kemuncak yang pertama kali diadakan di Asia itu adalah peluang terbaik untuk para anggota gabungan FAM untuk memperlajari dan mengemaskini is-isu terbaru bola sepak.

“Saya harap rakan-rakan pemimpin bola sepak di Malaysia mengambil peluang untuk bertukar-tukar pandangan mereka bersama pemimpin lain serta mengumpul seberapa banyak maklumat untuk memperlajari dan mengemasikini isu-isu terbaru bola sepak.

“Penganjuran sidang kemuncak di Kuala Lumpur ini akan memberikan Asia untuk meraih manfaat yang besar kerana para pemimpin bola sepak terbaik berkumpul di sini buat pertama kalinya diadakan di Asia. Ini adalah kali pertama WFS diadakan di luar Eropah, yang sebelum ini diadakan dengan jayanya di Madrid, Sepanyol.

“Sebelum ini, setiap maklum balas yang diterima ketika sidang kemuncak amat positif. Saya juga telah menghadiri Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia di Madrid sebanyak dua kali dan saya rasa dialog-dialog dan perbincangan meja bulat amat berguna dan menjadi ‘pembuka mata’ yang baik kepada pemimpin bola sepak yang lain.

“Perbincangan mereka berkaitan pengurusan kewangan, mekanisme percukaian untuk diselaraskan dengan pengkomersialan sukan bola sepak hari ini ataupun pertikaian kontrak dan siding ini adalah tempat terbaik untuk kesemua pemimpin bola sepak,” katanya.

WFS Asia telah disasarkan sebagai acara antarabangsa yang sangat penting kepada industri bola sepak di Asia kerana ini merupakan platform yang sangat tepat untuk para pemimpin bola sepak serta menjalinkan hubungan luar.

Lebih 2,000 orang dari 100 negara berkumpul di Pusat Konvensyen Sunway selama dua hari untuk menghadiri WFS Asia, yang akan menyaksikan pembentangan oleh 60 pembentang.

Lebih 30 wakil daripada persatuan-persatuan gabungan FAM telah mendaftar untuk menghadiri WFS Asia itu. – BERNAMA

Foto: FAM