Aksi Liga Perdana semalam menyaksikan pertembungan dua bekas juara Liga Super tahun 2004 dan 2005, iaitu Pahang dan Perlis dengan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati apabila berkongsi satu mata dengan keputusan seri 2-2.

Tok Gajah yang bertandang ke Stadium Utama Negeri, Kangar, gagal meneruskan rentak cemerlang mereka apabila disekat Singa Utara daripada mengutip tiga mata penuh di penghujung perlawanan.

Pahang mendahului dua gol hasil jaringan Mohd Hafiz Kamal (17’) dan pemain tengah, Mohd Hazuan Mohd Daud (52’), sebelum tuan rumah bangkit mengejutkan anak didik Dollah Salleh dengan dua gol pada minit ke-91 dan 93 menerusi dua gol pemain import, Lamin Conteh Al-Hidayah.

Universiti Sains Malaysia (USM FC) juga terikat dengan keputusan seri dengan pasukan tuan rumah, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB FC) di Stadium Sultan Ibrahim, Muar, dengan keputusan 1-1. Gol pelawat dijaringkan pada minit ke-75 oleh S. Veenod untuk menafikan mata penuh buat MBJB FC yang mendahului pada minit ke-56.

Harimau Muda B yang dibelenggu kekalahan demi kekalahan turun menentang Johor di Stadium Nasional Bukit Jalil, berjaya mengikat pasukan pelawat itu dengan keputusan 1-1 menerusi gol di penghujung perlawanan. Johor mendahului perlawanan terlebih dahulu menerusi gol  pada minit ke-47.

Sementara itu, di Stadium Hang Tuah, Melaka, NS Betaria gagal memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri apabila tunduk kepada MP Muar dengan keputusan 1-2. MP Muar yang tewas dua kali berturut-turut sebelum ini menang menerusi jaringan pada minit ke-8 dan 72, manakala gol tunggal NS Betaria pula diperolehi pada minit ke-58.

PDRM bangkit menjaringkan dua gol dalam tempoh dua minit sebelum perlawanan tamat untuk mengikat Pos Malaysia 2-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Gol Pos Malaysia dijaringkan pada minit ke-51 dan 55, sementara PDRM memperolehi dua gol menerusi pada minit ke-88 dan 90.

Perlawanan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menentang Sime Darby di Stadium MP Selayang pula terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat. ATM ketika itu sudah mendahului lawan dengan 2-0 hasil jaringan pemain import sensasi, Marlon Alex James. Perlawanan akan dilangsungkan semula hari ini (Sabtu) tanpa kiraan gol semalam.

Pahang memimpin Liga Perdana untuk tempoh sehari sehingga tamat aksi antara ATM bertemu Sime Darby hari ini. Tiada perubahan ketara dalam kedudukan liga dengan MBJB FC dan Harimau Muda B kekal ditangga terbawah liga.

Selain itu, satu perlawanan Liga Super turut berlangsung malam tadi, dimana Kedah melayan kunjungan jaguh Pantai Timur, Kelantan di Stadium Darul Aman, Alor Setar. Kenari masih belum mampu membolosi gawang lawan apabila tunduk pula 0-3 kepada Kijang, hasil jaringan penalti pemain import, Mohamed Ghaddar (35’), Norshahrul Idlan Talaha (78’) dan Danny Antwi (90’). Kedah juga masih belum menang dalam empat perlawanan liga.