Connect with:




PEMINAT bola sepak tempatan kini menyaksikan siaran langsung semua perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia menerusi platform baru hasil kerjasama antara Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

Unifi, jenama utama di bawah TM, memeterai perjanjian sebagai penaja utama Liga Super, Piala Malaysia dan penaja bersama bagi Piala FA bermula tahun ini sehingga 2025.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Shazalli Ramly berkata, pihaknya amat teruja untuk meneruskan kerjasama dengan pihak FMLLP dalam membangunkan sukan bola sepak tempatan dan membawa lebih banyak detik menarik Liga Super kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

“Peminat bola sepak di Malaysia kini boleh menonton setiap perlawanan dalam liga ini dan menyaksikan pasukan kegemaran mereka beraksi, kerana kesemua perlawanan akan disiarkan secara langsung menerusi Unifi TV dan boleh diakses menerusi aplikasi Unifi PlayTV,” kata Shazalli.

Dengan kerjasama ini, Unifi kini satu-satunya jenama yang menawarkan detik aksi bola sepak secara langsung dalam Definisi Tinggi (HD) sepenuhnya di skrin peranti di rumah dan di mana-mana saja menerusi aplikasi Unifi PlayTV.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Pengerusi Football Malaysia LLP, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menganggap perjanjian ini adalah yang terbesar pernah berlaku dalam sejarah sukan Malaysia.

“Ini adalah bukti keyakinan TM terhadap sukan bola sepak dan liga Malaysia yang menjadi pemacu komersial dan perpaduan utama di negara ini,” kata Tunku Ismail.

Sumber: Harian Metro

Foto Kredit: iluminasi.com