Pasukan Kelantan akan dijanjikan bonus hari raya sebanyak RM50,000 jika mereka menang atau mendapat seri dalam perlawananan menentang Queens Park Rangers (QPR), Jumaat ini.

“Saya harap bonus ini menjadi insentif buat mereka untuk melakukan yang terbaik. Perlawanan di antara kelab seperti ini jarang diadakan dan kita mahu pasukan Kelantan bermain dengan sebaik mungkin,” kata Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

“KAFA telah mengumumkan bonus hari raya sebanyak RM50,000 jika pasukan mendapat seri/menang dalam perlawanan ini. Saya harap penyokong-penyokong bola sepak tempatan dapat sama-sama turun ke Stadium Shah Alam untuk memberi sokongan kepada Juara Liga Super Malaysia ini,” tambah Annuar lagi.

Skuad Kelantan dijangka akan menurunkan kesemua ahli skuad untuk perlawanan menentang QPR ini termasuk pemain-pemain import seperti Muhammad Ghaddar, Obinna Nwaneri, Kieta Mandjou dan Mijo Dadic.

Selain itu skuad The Red Warriors akan memakai jersi berwarna hitam merah yang dikeluarkan khas oleh UMBRO dan logo-logo penaja turut dipaparkan pada jersi termasuk penaja terbaru Kelantan iaitu Zon Ria.

Tan Sri Annuar turut mengumumkan diskaun istimewa untuk pelajar-pelajar IPTA dan IPTS di mana mereka berpeluang membeli tiket perlawanan dengan potongan sebanyak 50%.

“Kita telah memperuntukkan 5,000 tiket yang berharga RM53 untuk dijual pada harga 50% pada 18 dan 19 Julai. Kaunter tiket akan mula dibuka di Pejabat Hal Ehwal Pelajar UITM Shah Alam dan para pelajar hanya perlu menunjukkan pas matrik mereka untuk menikmati kadar istimewa ini.” kata beliau.

Ditanya mengenai pelajar-pelajar di luar Shah Alam, Annuar menambah, “pelajar-pelajar di luar kawasan Shah Alam yang ingin menikmati kadar istimewa ini boleh berhubung dengan Pertubuhan Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK) atau Puan Fazilah dari Pejabat Hal Ehwal Pelajar Puncak Alam di talian 019-640 1062.”

Kemudahan tempat untuk solat berjemaah di dalam kawasan stadium dengan kerjasama pihak stadium akan disediakan jika bulan Ramadhan jatuh pada hari Jumaat ini. Imam dan bilal juga akan didatangkan dari Kelantan untuk mengetuai Solat Isyak dan Terawikh berjemaah.

“Ini peluang yang sangat unik yang belum pernah dilakukan sebelum ini. Saya harap peminat-peminat bola sepak dapat datang beramai-ramai untuk solat berjemaah dan menyaksikan perlawanan ini,” jelas Annuar.