Connect with:




Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin mengumumkan bahawa penjualan tiket dua perlawanan di gelanggang sendiri skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe bagi saingan peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2018 akan dibuka secara online di www.tickethotline.com.my bermula pada Sabtu, 20 Oktober 2018.

Ia membabitkan perlawanan kedua Kumpulan A bertemu Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Isnin, 12 November 2018 (8.45 malam) dan perlawanan keempat Kumpulan A menentang Myanmar juga di Stadium Nasional pada Sabtu, 24 November 2018 (8.30 malam).

Harga tiket yang telah ditetapkan bagi setiap perlawanan tersebut adalah RM30 (grandstand), RM20 (terbuka) dan RM5 (kanak-kanak).

Tiket-tiket yang dibeli secara online itu kemudian boleh diambil di kaunter khas penebusan yang akan dibuka di Stadium Nasional dari 9 hingga 12 November 2018 bagi perlawanan bertemu Laos dan dari 21 hingga 24 November 2018 bagi perlawanan menentang Myanmar.

Sementara itu, pembelian awal secara tunai di kaunter tiket bagi kedua-dua perlawanan berkenaan akan dibuka di kaunter tiket khas di Stadium Nasional pada Sabtu, 3 November 2018 bersempena berlangsungnya perlawanan persahabatan antarabangsa “A”, Malaysia bertemu Maldives di stadium sama.

Pembelian secara tunai berikutnya pula boleh dibuat di kaunter tiket Stadium Nasional pada 11 dan 12 November 2018 bagi perlawanan menentang Laos serta  pada 23 dan 24 November 2018 bagi perlawanan bertemu Myanmar.

Dua lagi perlawanan peringkat kumpulan membabitkan skuad Harimau Malaya akan berlangsung di gelanggang lawan, iaitu perlawanan pertama bertemu Kemboja di Phnom Penh pada Khamis, 8 November 2018 dan perlawanan ketiga berdepan Vietnam di Hanoi pada Jumaat, 16 November 2018.

Maklumat berhubung penjualan tiket perlawanan tempat sendiri bagi peringkat separuh akhir dan final akan dimaklumkan kemudian, bergantung kepada sama ada skuad Harimau Malaya dapat meneruskan kemaraan atau sebaliknya.

Dalam perkembangan lain, tiket bagi perlawanan antarabangsa “A”, Malaysia bertemu Maldives di Stadium Nasional pada Sabtu, 3 November 2018 turut boleh dibeli secara online di www.tickethotline.com.my bermula Sabtu, 20 Oktober 2018.

Harga tiket yang telah ditetapkan adalah RM30 (grandstand), RM20 (terbuka) dan RM5 (kanak-kanak).

Pembelian secara tunai pula boleh dibuat di kaunter tiket Stadium Nasional pada hari perlawanan mulai jam 12.00 tengah hari.