Connect with:




Bintang sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo yang dikhabarkan tiada dalam senarai tiga calon akhir anugerah Ballon d’Or bakal kembali beraksi bersama kelabnya, Juventus yang akan bertemu SPAL, awal pagi Ahad ini setelah terlepas aksi kelayakan  Liga Negara-Negara Eropah bersama Portugal.

Ronaldo yang pernah menggondol anugerah itu sebanyak lima kali sebelum ini berhadapan kemungkinan disisihkan daripada senarai tiga terakhir di saat pemenang bakal diumumkan di Paris 3 Disember ini.

Portugal yang merupakan juara Euro 2016 menjadi pasukan pertama melayakkan diri ke pentas final Liga Negara-Negara Eropah mengambil langkah merehatkan ketua pasukan mereka itu bagi empat aksi terakhir.

Difahamkan Ronaldo menghabiskan rehat antarabangsa dengan bercuti ke London dan wujud dakwaan menyatakan bahawa bekas penyerang Real Madrid itu mengikat tali pertunangan dengan teman wanitanya, Georgina Rodriguez sebelum terbang ke Turin.

“Apa yang boleh saya katakan setelah kembali ke sesi latihan adalah saya kembali melihat Cristiano di padang menjalani latihan seperti biasa, profesional serta memberikan yang terbaik seperti kebiasaannya.

“Mengenai hal itu (Ballon d’Or), bukan tempat saya mengulas mengenai hal itu kerana saya tidak tahu menahu,” jelas pemain pertahanan Juventus, Mattia De Sciglio yang juga rakan sepasukan Ronaldo di Juventus.

Juventus yang mempunyai misi mengekalkan kelebihan empat mata ke atas pencabar terdekat, Napoli bakal melayan kunjungan pasukan yang sedang bergelut menyelamatkan diri dari zon penyingkiran, SPAL.

Dalam pada itu Juventus yang tumpas mengejut di tangan Manchester United dalam aksi Liga Juara-Juara baru-baru ini bakal menerima kunjungan Valencia untuk satu lagi aksi getir awal pagi Rabu ini.

Khabar gembira pastinya buat Massimiliano Allegri yang dilaporkan boleh kembali menggunakan khidmat Paulo Dybala, Joao Cancelo serta penjaga gawang Wojciech Szczesny.

 

Foto : AFP

Sumber : The Guardian.