Upacara pembukaan Sukan SEA pada 19 Ogos ini akan menyaksikan tiga juara dunia dipilih membawa Jalur Gemilang iaitu Azizulhasni Awang (berbasikal), Mohd. Al Jufferi Jamari (silat) dan Cheong Jun Hoong (terjun)

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam majlis Program Akhir Kontinjen Malaysia di Kuala Lumpur pada Isnin.

“Ketiga-tiga atlet ini merupakan juara dunia. Penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang dalam upacara pembukaan akan diberikan kepada Cheong Jun Hoong, Al Jufferi dan Azizulhasni Awang,” kata Khairy.

Azizulhasni mencipta sejarah muncul juara dunia acara keirin di Hong Kong pada April lalu. AL Jufferi pula merupakan juara dunia silat untuk tiga tahun berturut-turut.

Sementara Jun Hoong masih segar dengan kejayaannya memenangi emas 10 meter platform individu wanita dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, bulan lalu.