Jurulatih negara, Datuk K Rajagobal masih tetap optimis

 

“Tak perlu panik”

Itulah ungkapan dari pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal selepas menyaksikan anak buahnya kecundang kepada Vietnam 0-2 di Stadium Shah Alam, semalam.

Sambil merujuk kepada kehebatan Itali di Euro 2012 walaupon mengalami persediaan yang kurang meyakinkan, Rajagobal optimis anak buahnya akan bangkit selepas ini.

“Kekalahan ini akan menyedarkan kita untuk lebih bersedia menjelang Piala AFF nanti. Tidak perlu untuk panik. Kejohanan sebenar nanti adalah sangat berbeza berbanding perlawanan persahabatan” tambah Rajagobal dalam sidang akhbar selepas perlawanan semalam.

Mengulas mengenai ketumpulan jentera serangan pula, Rajagobal percaya barisan penyerangnya terutamanya Safee Sali dan Norshahrol Idlan Talha hanya memerlukan masa yang sesuai untuk menterjemahkan kehebatan sebenar.

Penyerang negara tunggu masa untuk meledak

 

Sementara itu di kem Vietnam, mereka percaya pasukan Malaysia akan lebih kuat pada Piala AFF November nanti.

“Vietnam bermain baik malam ini. Begitu juga Malaysia. Cuma pasukan kami menggunakan kesempatan sebaik mungkin berbanding lawan. Saya pasti kekuatan sebenar Malaysia akan ditunjukkan di Piala AFF nanti” jelas penolong jurulatih Vietnam, Hoang Ann Tuanh.

Vietnam selepas ini akan bertemu Indonesia pada 22  September dalam satu perlawanan persahabatan sementara Malaysia akan bertemu Kemboja, 2 Oktober ini di Shah Alam.