Connect with:




Buat pertama kali dalam masa 80 tahun, tiada pengadil British yang akan mengadili perlawanan Piala Dunia 2018.

Gabungan Antarabangsa Bolasepak (FIFA) telah mengeluarkan senarai 36 pengadil dan 63 pembantu pengadil dan mengesahkan daripada 46 negara tiada satu pun pegawai perlawanan dari England, Wales, Scotland atau Ireland Utara.

Sementara itu, Amerika Syarikat mempunyai wakil paling ramai dengan dua pengadil dan dua pembantu pengadil.

Pengadil England, Mark Clattenburg yang mengadili perlawanan akhir Kejohanan Eropah 2016 di antara Perancis dan Portugal termasuk dalam senarai FIFA tetapi dia meninggalkan Liga Perdana musim lalu untuk berkhidmat di Arab Saudi.

“Cukup mengecewakan. Kami sudah lama berada di bola sepak dunia dan menjadi kebanggaan kami apabila bertugas di peringkat antarabangsa,” kata Mike Riley, Ketua Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) kepada stesen televisyen Sky Sport.

“Selepas Mark meninggalkan Liga Perdana, kami tiada masa untuk membimbing pengadil lain, jadi tiada peluang kami menggantikannya.”

Pada final Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, Howard Webb menjadi satu-satunya pengadil Inggeris yang mengadili perlawanan itu dan juga di Brazil pada 2014.

Tiga lagi final diadili pengadil Inggeris ialah pada 1950 oleh George Reader, William Ling, 1954 dan Jack Taylor, 1974.

Sementara itu, Britain tidak akan menghantar menteri atau kerabat diraja ke Piala Dunia ekoran bantahan terhadap Russia yang didakwa terbabit dalam serangan agen saraf ke atas dua bekas pengintip Russia di bandar Salisbury, bulan ini.

Sumber : Harian Metro

Foto Kredit : mirror(dot)co(dot)uk