Connect with:




Langkah yang diambil Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang mewajibkan semua pemain di bawah naungannya memakai pakaian menutup aurat ketika beraksi di saingan Liga Malaysia (Liga M) mendapat respon positif dari pemain Terengganu FC (TFC).

Menurut mereka perlaksanaan itu langsung tidak memberi kesan terhadap mutu persembahan seseorang itu di dalam padang, selain berpendapat para pemain berpeluang mempraktikkan nilai murni ajaran Islam yang boleh menjadi contoh kepada peminat.

Melihat pembaharuan  itu dari sudut positif, pemain sayap TFC, Abdul Malik Mat Ariff menyifatkan perlaksanaan tersebut tidak memberi sebarang impak negatif malah ianya tidak mengganggu corak permainan pemain.

“Secara peribadi saya amat menyambut baik langkah kerajaan negeri  yang mewajibkan pemakaian mematuhi syariah buat semua pemain. Ia langsung tidak menjadi masalah kerana pada pendapat saya ianya langsung tidak menjejaskan mutu persembahan.

“Kesungguhan adalah yang utama kerana prestasi pemain tidak tergantung kepada pakaian sebaliknya usaha yang berterusan serta bakat yang ada adalah penentu kejayaan,” jelas Malik yang memperbaharui kontrak selama setahun bersama TFC.

Penjaga gol baharu TFC, Muhammad Ilham Amirullah Razali turut berkongsi pendapat sama dengan Malik yang menyifatkan langkah itu sama sekali tidak menjejaskan mutu dan pencapaian pemain.

“Bukan saja tidak mengganggu mutu permainan malah dalam masa yang sama pemain tidak terus bergelumang dengan dosa,” ujar Ilham yang kembali menyarung jersi TFC setelah berhijrah ke Negeri Sembilan musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah pada Ahad menegaskan bahawa semua pemain bola sepak negeri diwajibkan menutup aurat ketika turun beraksi di laman sendiri mahupun lawan bermula musim 2019.

Pelaksanaan pakaian patuh syariah itu bagaimanapun hanya terpakai buat pemain beragama Islam sahaja sementara bagi pemain bukan Islam mereka adalah digalakkan untuk turut mengikut cara pemakaian tersebut.

 

Foto : Facebook Terengganu Football Club

Sumber : Bernama