“Tiada jalan singkat bagi seseorang pemain bola sepak untuk berjaya,” kata bekas penjaga gawang pasukan Perak dan Kebangsaan dalam era 80an.

Dia yang kini sebagai jurulatih penjaga gawang bagi The Boss Gaurus itu menyifatkan bahawa pemain-pemain muda perlu mendisiplinkan diri mereka untuk membawa nama pasukan bola sepak negara ke persada antarabangsa.

“Saya lihat resepi kejayaan bagi seseorang pemain itu untuk berjaya adalah mereka sanggup mengorbankan masa bersama kawan-kawan serta ‘gajet’ mereka untuk berlatih lebih masa selepas sesi latihan dijalankan,

“Bagi saya, jika kita hanya berlatih semasa sesi latihan sahaja, tahap kelebihan yang kita perolehi akan sama dengan rakan pasukan yang lain,

“Jadi, jika seseorang itu ingin berjaya dalam bola sepak atau mana-mana sukan, mereka perlu berlatih lebih masa dari sesi latihan yang selalu mereka hadapi,

“Tak perlu lama, hanya 15 hingga 20 minit sahaja dan keputusannya kita akan dapat melebihi kelebihan berbanding rakan sepasukan kita miliki,” katanya dalam temubual bersama wartawan Dunia Sukan.

Dia turut berkongsi pengalamannya semasa perlawanan akhir Piala Malaysia, Perak menentang Selangor ketika itu.

Pada ketika itu sebahagian daripada pemain Selangor pernah menyarung jersi kebangsaan, tetapi dengan semangat juang yang dimiliki pasukan Perak amat kuat ketika itu, pasukan Perak berjaya menjuarai menentang Selangor dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.

“Semangat yang sebegitu perlu ada dalam kalangan pemain kebangsaan atau pasukan pada waktu ini, jangan mudah putus asa selagi masa perlawanan masih ada,” katanya.

Tambahnya lagi, pembangunan dari akar umbi perlu giat dijalankan untuk mencari pemain pelapis untuk pasukan kebangsaan supaya menjadi nama yang digeruni oleh negara luar.