Kuala Lumpur: Felda United menumbangkan Juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT), 3-2 yang hanya beraksi dengan 10 orang pemain dalam saingan kedua terakhir musim 2017 di Stadium Shah Alam, semalam.

Aksi babak pertama kencang dengan dua pasukan berbalas serangan dan hasilnya Thiago Augusto meletakkan Felda di depan pada minit ke-27 dan JDT menyamakan kedudukan menerusi Junior Eldstar 11 minit kemudian.

Minit terakhir babak pertama menyaksikan Ifedayo Omosuyi menyumbat gol buat Felda, 2-1.

Pada babak kedua, JDT tempang apabila penjaring gol pertama, Junior dibuang padang susulan mengutip kad kuning kedua pada minit ke-47.

Bermain dengan 10 pemain tidak menjatuhkan semangat para pemain JDT apabila, Gonzalo Gabrera menjadi penyelamat dengan menyamakan keputusan 2-2 pada minit ke-57.

Namun, keputusan itu tidak betahan lama apabila Augusto menjaringkan gol kemenangan selepas enam minit daripada gol JDT.

Kemenangan tersebut membolehkan Felda untuk menduduki tangga Kedua Liga Super yang kini dihuni Pahang.

Namun peluang tersebut agak sukar kerana Pahang yang menduduki tangga kedua dengan 39 mata, hanya memerlukan keputusan seri untuk gelaran naib juara, manakala Felda perlu menang pada perlawanan penutup liga Super,21 Oktober nanti.

Skuad Felda dengan 36 mata masih berpeluang untuk menamatkan saingan selaku naib juara, namun terdapat sedikit kesukaran.

Hal ini kerana jika Pahang kalah, Skuad bimbingan B.Sathianathan memerlukan kemengan besar untuk muncul naib juara.

Setakat ini, perbezaan jaringan Tok Gajah adalah 18 jaringan, manakala Felda 12 jaringan.

Foto Kredit: Asiana.MY