Connect with:




The Shield mengakhiri pertarungan mereka dalam satu acara khas yang dianjurkan oleh WWE di TaxSlayer Center, Moline, Illinois, United States.

Acara itu dianjurkan untuk memberi penghargaan kepada The Shield yang membuat pertarungan terakhir. The Shield yang dianggotai oleh Roman Reigns, Seth Rollins dan Dean Ambrose mula membuat debut bersama WWE pada 18 November 2012. Selepas hampir tujuh tahun, akhirnya era The Shield berakhir.

Sebelum ini, The Shield telah dibubarkan namun mereka kembali bergabung sebanyak dua kali. Kali pertama The Shield terbubar disebabkan Rollins mengkhianati Reigns dan Ambrose untuk bergabung bersama Evolution.

Mereka bergabung kembali selepas Reigns memerlukan pertolongan untuk berhadapan dengan The Miz, Bo Dallas dan Curtis Axel. Reigns selepas itu berjaya memenangi gelaran Universal Championship tetapi dia terpaksa melepaskan gelaran itu kerana disahkan menghidap penyakit leukemia.

Detik itu dilihat seperti The Shield terbubar buat kali kedua selepas Reigns berkemungkinan tidak akan kembali ke arena gusti. Selepas pengumuman Reigns itu, Ambrose dan Rollins berjaya memenangi Raw Tag Team Championship, tetapi malangnya Ambrose seperti membalas dendam untuk pengkhianatan yang dilakukan Rollins pada mulanya.

Hampir empat bulan dalam proses pemulihan, Reigns kembali ke Raw dan mengumumkan yang dia sudah bebas daripada penyakitnya. Reigns meminta kepada Rollins dan Ambrose untuk bergabung buat kali terakhir.

Pada mulanya hanya Rollins saja bersetuju. Ambrose seperti tidak mahu bergabung kembali. Tetapi, apabila melihat Reigns dan Rollins dipukul oleh Baron Corbin, Drew McIntyre dan Bobby Lashley, Ambrose kembali ke gelanggang membantu brotherhoodnya dan kembali bergabung bersama The Shield.

Kini, pembubaran berlaku disebabkan Ambrose tidak memperbaharui kontrak bersama WWE. Acara itu juga merupakan pertarungan terakhir Ambrose di WWE.

Walaupun Rollins dan Reigns masih bersama WWE, mereka juga telah dipisahkan ke brand yang berlainan, apabila Rollins berada di Monday Night Raw dan Reigns di SmackDown Live.

Kini mereka bakal membawa haluan masing-masing. Rollins bakal pertahankan gelaran Universal Championship yang dimenanginya di Wrestlemania 35 sementara Reigns bakal memberi impak besar kepada SmackDown Live.

Dalam acara khas itu, The Shield menewaskan Corbin, McIntye dan Lashley dalam 6 Tag Team Match untuk mengakhiri perjalanan The Shield dengan kemenangan.

Selepas pertarungan, The Shield mendapat sorakan daripada peminat-peminat yang hadir dengan laungan ‘Thank You Shield’ dan sorakan khas buat Ambrose iaitu ‘Thank You Ambrose’.

Foto : WWE