Pengendali skuad Kelantan, Zahasmi Ismail menganggapkan pasukannya tiada tuah apabila terpaksa membawa pulang tangan kosong dalam saingan Liga Super di Stadium Selayang, kelmarin.

The Red Warriors (TRW) pada mulanya berjaya menguasai permainan dengan baik namun terpaksa akur selepas tewas berhadapan Selangor dengan catatan gol 0-1.

Menurut Zahasmi, TRW gagal menyempurnakan peluang yang ada sekaligus memberi pihak lawan melakukan jaringan dengan mudah.

Walaupun tewas terhadap Selangor, beliau menjelaskan bahawa perlawanan tersebut merupakan aksi terbaik yang pernah dipamerkan oleh pemainnya semenjak beliau membimbing kelab tersebut.

“Saya puas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan oleh setiap pemain. Mereka berjaya mengawal bola, bijak mengatur peluang dan bermain dengan momentum yang tinggi,” ujarnya.

Selangor berjaya membawa pulang tiga mata penuh apabila pemain veteran, Mohd Amri Yahyah berjaya menjaringkan gol tunggal pada minit ke-23.