Walaupun dipalit kontrovesi sehingga kini akibat ketiadaan gelanggang tuan rumah namun pujian harus diberikan kepada pasukan ‘The Red Giants’ kerana mempamerkan semangat juang yang tinggi dihadapan lebih 11 ribu penyokong tegar Selangor, selepas berjaya menundukkan seteru tradisi, Kuala Lumpur 2-0 pada aksi tetangga Lembah Klang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Gelaran Raja Lembah Klang itu menjadi milik Selangor dan sekali gus menyaksikan anak buah P Maniam itu membuka saingan liga musim ini dengan kemenangan sementara Kuala Lumpur terpaksa akur tewas pada penampilan pertama aksi Liga Super dalam tempoh lima tahun.

Pada perlawanan berkenaan, kedua dua pasukan memperaga aksi cukup berhati-hati yang menyaksikan tiada percubaan berbahaya dapat disaksikan sepanjang tempoh 10 minit pertama.

Namun, Selangor terlebih dahulu beroleh rentak dan mendahului permainan seawal minit ke-15 apabila hantaran lintang Azamuddin Akil ditanduk Rufino Segovia untuk gol pembukaan.

Selangor terus garang memburu gol kedua menerusi gerakan pantas Ilham Udin Armaiyn dari sayap kiri namun hantarannya disia-siakan Rufino yang berada di hadapan pintu gol pada minit ke-31.

Peluang keemasan Kuala Lumpur memperolehi gol penyamaan hadir pada minit ke-37 namun pertahanan muda Selangor, K Kannan menyelamatkan gawang selepas menafikan percubaan Ashri Chuchu meskipun penjaga gol, Norazlan Razali sudah tertewas.

Babak kedua bersambung, benteng pelawat cemas apabila Josue berjaya melepaskan satu rembatan kencang dari luar kotak penalti namun dinafikan palang gol pada minit ke-63. Selang tujuh minit, Norazlan pula menyelamatkan sepakan percuma Junior Aparecido.

Pemain gantian Selangor, M Thamil Maran nyaris menghadiahkan gol kedua buat pelawat pada minit ke-75 namun tandukannya hinggap di palang sebelum dikeluarkan pertahanan Kuala Lumpur.

Hasrat Kuala Lumpur untuk bangkit terpadam selepas Rufino meledak gol kedua pada masa tambahan separuh masa kedua sekali gus mengesahkan tiga mata untuk Selangor.