Connect with:




Siri ketiga Kejohanan Trek Piala Dunia di Berlin, Jerman, yang akan berlangsung pada 30 November hingga 2 Disember nanti dilihat bakal menjadi pentas kebangkitan buat pelumba basikal kebangsaan, Azizulhasni Awang.

Bakal beraksi dalam tiga acara, keirin, pecut individu dan berpasukan bersama dua lagi pelumba, Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis, The Pocket Rocketman melaungkan keyakinan mampu kembali ke prestasi terbaik di kejohanan itu nanti.

Tempoh empat minggu sebelum kejohanan akan digunakan sebaik mungkin anak jati Dungun, Terengganu itu bagi menjalani latihan intensif, memperbaiki corak kayuhan serta memastikan prestasinya berada pada tahap optimum.

“Saya tetap gembira dengan prestasi di dua siri awal yang berlangsung di Perancis dan Kanada kerana kami baru saja kembali berlatih selepas Sukan Asia 2018 meskipun gagal menaiki podium.

“Biarpun gagal menempatkan diri pada kedudukan teratas, misi utama kami adalah fokus terhadap Kejohanan Dunia dan Asia yang bakal berlangsung awal tahun depan kerana menawarkan mata yang lebih tinggi,” katanya.

Azizul memberitahu bahawa matlamat utama penyertaan beliau dan rakan-rakan sepasukan adalah bagi mempersiapkan diri masing-masing selain mengumpul mata secukupnya untuk melayakkan diri ke Olimpik Tokyo 2020.

“Saya berjaya mencatat masa di bawah 10 saat  dalam acara pecut 200 meter di kedua-dua siri terawal sedangkan pada ketika itu saya belum berada pada tahap terbaik jadi ianya satu petanda yang positif buat saya.

“Oleh itu saya mempunyai keyakinan tinggi kami mampu ke tahap lebih baik menjelang hari kejohanan di Jerman nanti,” ujarnya lagi.

Terdahulu di saingan yang berlangsung di Milton, Kanada minggu lalu, pemenang pingat emas acara pecut Sukan Asia 2018 itu tersingkir pada pusingan awal keirin dan menduduki tempat ke-13 bagi acara pecut berpasukan bersama-sama Shah Firdaus dan Mohd Fadhil.

Azizul turut kecundang bagi acara bagi acara pecut individu apabila beliau menduduki tempat ke-21 pada pusingan kelayakan dengan catatan masa 9.965 saat.

 

Foto : Malaysian National Cycling Federation | Homepage

Sumber : Bernama