Connect with:




Biarpun mencurahkan segala keringat di atas trek, namun nasib tidak menyebelahi jagu berbasikal negara, Azizulhasni Awang apabila sekadar berada di kedudukan ketujuh acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Poland, pagi ini.

Dia yang gagal mengulangi pencapaian terbaiknya itu mengalami kemalangan ketika pusingan pertama sedikit sebanyak merencatkan rentak kayuhan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu.

Malah, ia turut membuatkan The Pocket Rocketman mempunyai masalah pernafasan kesan daripada impakan di bahagian rusuk kiri.

Ekoran kemalangan tersebut, keputusan Azizulhasni pada saingan separuh akhir tidak memberangsangkan dan terpaksa berlumba memburu kedudukan ketujuh hingga ke-12.

“Terdapat juga impakan pada bahagian kepala, yang membuatkan saya berasa seperti pening dan sakit. Namun demi mengejar misi menambah mata sebanyak mungkin untuk kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, saya ketepikan rasa sakit dan dan terus berjuang.

“Walaupun sedikit sedih kerana tidak dapat ke Final 1-6, kemenangan di perlumbaan Final 7-12 sedikit menceriakan saya, tambahan lagi ianya juga memberikan mata berganda yang banyak,” katanya menerusi status Facebooknya.

Dala pada itu, Azizulhasni berada di tempat keempat daripada enam pelumba keseluruhan di semifinal. Tiga terbaik dari setiap saingan layak untuk berlumba bagi merebut tempat pertama hingga keenam.

Rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom juga terkandas selepas cabarannya berakhir di saingan penyisihan (repechage) acara keirin pada aksi di BGZ Arena, di Pruszkow.

Untuk rekod, Azizulhasni mengharumkan nama negara apabila merangkul pingat emas acara keirin di kejohanan itu pada tahun 2017 di Hong Kong sekaligus menamatkan penantian Malaysia dalam kejuaraan berkenaan.

Perlumbaan seterusnya menyaksikan Azizulhasni turun dalam acara pecut individu lelaki yang akan disertai oleh Muhammad Shah Firdaus dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis pada Sabtu ini. – BERNAMA