Connect with:




Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang mampu bangkit menebus kekecewaan gagal mempertahankan gelaran juara dunia dalam acara keirin pada Kejohanan Trek Berbasikal Dunia UCI 2018 minggu lalu di Sukan Komanwel, bulan depan.

Menurut pelumba yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ itu, dia tidak boleh terus menangisi kegagalan di Apleldorn berkenaan, sebaliknya perlu segera bangkit mempersiapkan diri menghadapi temasya kedua terbesar dunia itu.

“Biarpun masih semput dan batuk, tetapi saya mula menjalani latihan mulai semalam kerana hanya mempunyai masa tiga minggu untuk membuat persiapan sebelum beraksi di Gold Coast nanti.

“Jadi, saya kena lebih bekerja keras bagi meningkatkan kekuatan fizikal dan kelajuan ketika berkayuh, sekali gus mencapai kemuncak ketika beraksi pada temasya kedua terbesar dunia itu,” katanya selepas menjalani latihan di Velodrom Nasional, di sini, semalam.

Terdahulu, hajat Azizulhasni mempertahankan kejuaraan dunia dan ‘Jersi Pelangi’ berkecai apabila tersingkir pada saingan penyisihan (repechage) selepas berada di belakang pelumba Ukraine, Andrii Vynokurov dengan catatan masa 10.287 saat.

Malah, hajat pemenang gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu untuk bangkit dalam acara 200 meter pecut turut tidak kesampaian apabila tumpas kepada pelumba Great Britain berusia 20 tahun, Jack Carlin, pada Saringan Pertama Pusingan 1/16 di Velodrom Omnisport.

“Saya harap dapat bangkit dan menunjukkan keupayaan sebenar di Gold Coast, sekali gus memenangi pingat emas untuk negara,” katanya.