Connect with:




Hero berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang berada di tahap prestasi terbaik untuk memburu gelaran nombor satu dunia selain melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mendedahkan rankingnya yang  naik dua lagi anak tangga ke ranking kedua dunia bagi acara keirin.

Kini, Juara dunia keirin 2017 itu secara keseluruhannya mengumpul 2,445 mata setelah berjaya memperolehi pingat perak pada siri keempat Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia UCI 2018-2019 UCI di London dengan kutipan 450 mata, minggu lalu.

Pelumba yang digelar The Pocket Rocketman hanya ketinggalan 55 mata di belakang jaguh Australia, Matthew Glaetzer yang berada di kedudukan pertama.

“Saya berterima kasih kepada semua penyokong saya atas doa dan sokongan yang berterusan. Kritikan terhadap saya, hanya akan mendorong saya untuk berbuat lebih baik lagi.

“Saya dedikasikan ini (kejayaan) kepada semua penaja saya yang mempercayai dan terus menyokong saya tidak kira apa,” kata Mohd Azizuhasni di laman Instagramnya; @azizulawangofficial.

Seorang lagi pelumba Malaysia, Muhammad Shah Firdaus Sahrom berada di ranking ke-39 selepas mengumpulkan 1,028 mata.

Sebagai rekod, pelumba Jepun, Tomoyuki Kawabata yang turun dua anak tangga berada di ranking ketiga dengan 2,335 mata. – Bernama

Foto: Buletin Online