Barisan pemain baru ATM; dari kiri R.Surendran, Norfadzly Alias, G Jeevanathan, Affize Faisal Mamat, Shukor Adan dan S.Thinakaran.

Barisan pemain baru ATM; dari kiri R.Surendran, Norfadzly Alias, G Jeevanathan, Affize Faisal Mamat, Shukor Adan dan S.Thinakaran.

 

Pendatang baru Liga Super, Angkatan Tentera Malaysia (ATM FA) sudah berseida dengan cabaran sengit yang bakal dihadapi dalam saingan liga pada 2013 ini.

Malah, pengurusan tertinggi pasukan tidak gentar untuk meletakkan sasaran tertinggi dengan menetapkan sekurang-kurangnya 1 piala dimenangi pasukan ini.

“Saya sahut cabaran yang diletakkan pengurusan pasukan. Secara amnya, pasukan saya sudah cukup kuat untuk bersaing merebut kejuaraan” kata ketua jurulatih, B.Sathianathan.

Tugas pertama Sathianathan pastinya bermula Sabtu ini dengan perlawanan Piala Sultan Ahmad Shah menjadi misi membalas dendam kekalahan final Piala Malaysia tahun lalu.

 

Beberapa pemain utama dijangka terpaksa direhatkan dalam aksi Sabtu ini akibat kecederaan seperti penyerang import, Marlon Alex James serta Christie Jayaseelan.

Walaubagaimanapun, Sathianathan tetap optimis pasukannya mampu menundukkan Kelantan walaupun mengetahui tugas besar menanti anak-anak buahnya.

“Berdasarkan persembahan pra-musim termasuk aksi persahabatan di Thailand, saya dapat lihat pemain-pemain saya menampilkan aksi baik dan saya yakin mereka sudah bersedia untuk mengharungi kempen liga musim ini” kata Sathiantathan.

Dalam pada itu, kehilangan beberapa tonggak utama menyaksikan ATM membawa masuk beberapa pemain baru bagi menggalas tugas sepanjang kempen 2013. Antaranya duo Selangor, G. Jeevanantham dan R. Surendren; Norfazly Alias dari T-Team, bekas kapten Negeri Sembilan, Mohamed Shukor Adan, bintang Harimau Muda A, Mohd Affize Faisal Mamat dan S. Thinakaran dari USM.

Bagi Shukor, dia tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri bersama pasukan barunya ini.

“Ada sebahagian pemain di pasukan ini telah kerap bermain dengan saya sebelum ini seperti kapten pasukan Hairuddin Omar, Rezal Zambery Yahya, Irwan Fadzli Idrus dan Farizal Harun.

“Harapnya gandingan kami yang berjaya menjulang Piala Malaysia 2011 bersama Negeri Sembilan dapat diulangi kali ini bersama pasukan ATM” jelas Shukor.

ATM layak ke Liga Super 2012 selepas berjaya menjuarai Liga Premier 2011 selain berjaya beraksi di pentas akhir Piala Malaysia tahun lalu.