Bakat-bakat muda negara yang masih terpendam selama ini dan tidak pernah mendapat peluang mewakili negeri masing-masing bakal dicungkil melalui program ‘The Chance’ peringkat Malaysia, yang dianjurkan oleh Nike bermula dari 13 sehingga 29 April ini yang merangkumi tiga zon utama iaitu utara, tengah dan selatan tanahair.

Program dalam bentuk festival yang memasuki edisi kedua ini merupakan satu usaha pencarian bakat muda bolasepak negara untuk memberi peluang kepada mereka membuktikan kemampuan dan kebolehan diri di pentas yang lebih tinggi.

Program ini dilancarkan di Wisma FAM oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang turut disertai Pengurus Besar Nike Malaysia, Joan Yeoh, jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee serta Mohammad Zaky Zulkifli, pemenang edisi pertama ‘The Chance’ Malaysia, petang semalam.

Edisi pertama yang diadakan pada tahun 2010 lalu dimenangi oleh Zaky yang kini berusia 22 tahun dan beraksi bersama pasukan Liga Perdana, Johor. Zaky telah berpeluang untuk menunjukkan bakatnya di depan pengendali pasukan Arsenal FC, Arsene Wenger sepanjang berada London selepas layak mewakili negara kira-kira dua tahun lalu.

Untuk edisi kali ini, lebih 6,000 anak muda berusia antara 16 dan 24 tahun dijangka akan mempamerkan kebolehan mereka  untuk merebut 30 tempat di peringkat akhir kebangsaan. Lima pemain terbaik bakal dibawa ke pemilihan peringkat serantau di Indonesia sebelum empat pemain dipilih mewakili negara masing-masing ke peringkat akhir dunia di Barcelona.

Kim Swee yang dilantik sebagai salah seorang pengadil dalam panel pemilihan menyatakan bahawa program ini membolehkan dirinya melihat sendiri bakat-bakat muda yang tidak berpeluang mewakili negeri masing-masing dan mungkin boleh diketengahkan pemain-pemain tersebut ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) atau Harimau Muda B sekiranya bagus.

“Sebagai pencungkil bakat yang hebat, ‘The Chance’ juga suatu dorongan besar buat FAM. Kita berharap akan dapat mencungkil lebih banyak bakat yang suatu hari nanti akan melonjakkan taraf pasukan negara ke mercu yang lebih tinggi,” ujarnya lagi.

Festival ‘The Chance’ adalah seperti berikut:

Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah (13-14 April)
Padang Mawar, Pasir Gudang, Johor (21-22 April)
Padang Astaka, Petaling Jaya, Selangor (28-29 April)