Connect with:




Bintang gusti World Wrestling Entertainment (WWE), Roman Reigns mengejutkan seantero peminat apabila dia mengumumkan bahawa terpaksa melepaskan tali pinggang kejuaraan Universal yang dimilikinya kerana sedang bertarung dengan penyakit Leukemia.

Lebih mengejutkan Roman Reigns atau nama sebenarnya, Joe Anoa’i yang berusia 33 tahun itu mendedahkan Leukemia berkenaan kembali menyerangnya baru-baru ini selepas dia pulih dari penyakit tersebut sejak 11 tahun lalu dalam acara gusti Monday Night Raw, awal pagi tadi.

Hal ini menyebabkan dia terpaksa berehat seketika dan kembali ke kampung halaman untuk rawatan pemulihan.

“Saya telah bertarung dengan penyakit ini selama 11 tahun, tetapi malangnya ia telah menyerang kembali. Saya perlu melepaskan kejuaraan ini untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga dan juga kesihatan.

“Sudah pasti, saya akan kembali aktif ke gelanggang ini setelah semua perkara selesai dan saya akan menjadi lebih baik, itu tujuan saya,” ucapnya.

Rata-rata, ramai penyokong yang menonton ucapan dramatik The Big Dog sememangnya emosi hingga mengalirkan air mata dan menyambut sorakan  “terima kasih Roman” sebelum dia berlalu pergi dan dirangkul erat oleh Dean Ambrose dan Seth Rollins di pentas utama.

Dalam perkembangan lain, WWE Crown Jewel bakal menyaksikan Roman Reigns mempertaruhkan kejuaraannya dengan menentang Brock Lesnar dan Braun Stowman pada 2 November depan di Arab Saudi dan susulan dari pengumuman ini, perancangan perlawanan pasti akan berubah tidak lama lagi.