Kempen Liga Kriket Dunia Divisyen 3 skuad kebangsaan tahun ini di Uganda ternyata satu mimpi ngeri. Walaupun hadir sebagai antara pasukan pilihan untuk menghuni dua tangga teratas, sebaliknya apa yang terjadi ialah Malaysia menghuni tangga terbawah selepas tamat pusingan round-robin.

Skuad negara dilihat mampu untuk menjinakkan pasukan jiran, Singapura dalam perlawanan pembukaan berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan. Namun, kejutan dibuat Singapura untuk menewaskan Malaysia.

Pada perlawanan kedua, Malaysia bertemu dengan Amerika Syarikat – pasukan yan naik dari divisyen 4. Skuad kebangsaan mengalami nasib yang sama – tewas dengan 6 wiket. Skuad negara kembali bangkit menumpaskan Kanada namun kekalahan kepada Uganda terus melenyapkan sasaran yang telah ditetapkan Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA), Mahinda Valipuram iaitu layak ke divisyen kedua.

Dalam aksi terakhir peringkat round robin, Malaysia sekali lagi tumpas kali ini kepada Oman. Berada di tangga terbawah, skuad negara harus menelan kepahitan dimana pada tahun hadapan, mereka terpaksa beraksi di divisyen 4.

Malaysia akan melengkapkan kempen kejohanan dengan sekali lagi bertemu Uganda untuk perlawanan klasifikasi tempat ke-5/6.

Ini juga bermakna peluang negara untuk beraksi di kelayakan Piala Dunia 2019 telah terpadam. Sesuatu harus dilakukan MCA kerana prestasi skuad negara benar-benar mengejutkan dalam kempen kali ini apatah lagi pasukan kebangsaan telah menunjukkan peningkatan yang sangat memberangsangkan beberapa kejohanan sebelum ini.

Ini juga memberi peringatan awal buat pasukan kebangsaan untuk tidak memandang rendah pada aksi Sukan SEA di halaman sendiri, Ogos nanti.