Connect with:




TIGA sukan yang dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak tahun ini tetap akan digugurkan daripada senarai sukan teras Majlis Sukan Negara (MSN), kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Keputusan menyenaraikan kembali taekwondo, angkat berat dan sepak takraw untuk dipertandingkan pada temasya berkenaan tidak akan mengubah keputusan asal digugurkan daripada sukan teras walaupun rayuan telah dikemukakan oleh Majlis Sukan Negeri.

Beliau berkata keputusan menyenaraikan kembali ketiga-tiga sukan itu hanya untuk SUKMA dan tetap digugurkan daripada sukan teras MSN.

Mereka perlu mengurus dan mentadbir persatuan sukan masing-masing secara sendiri kerana tiada peruntukkan akan disalurkan.

Khairy menambah, keputusan menyenaraikan kembali tiga sukan berkenaan dipertandingkan pada SUKMA setelah syarat dipersetujui oleh ketiga-tiga persatuan sukan.

“Untuk taekwondo mereka perlu memberi peluang kepada atlet yang bukan daripada Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) untuk menyertai kejohanan tersebut.

“Angkat berat perlu pastikan tiada lagi kes doping di SUKMA atau mana-mana kejohanan lain. Kami tidak akan bertolak ansur dan jika ada satu kes sekalipun, acara ini tidak akan dipertandingkan pada SUKMA akan datang,” katanya.

Beliau menambah lagi, bagi sepak takraw, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sudah mengadakan pertemuan dengan kementeriannya dan bersetuju untuk menjalankan pengstrukturan semula pengurusan serta menyediakan program jangka panjang.

Khairy yang sebelum itu menyempurnakan pelancaran Fit Malaysia 2018 dan kira-kira 15,000 peserta mengambil bahagian pada program yang diadakan di Batu 1, Negeri Sembilan.