Connect with:




Berbaki dua pusingan terakhir saingan Formula 1 (F1), Ferrari memasang impian untuk menamatkan musim 2018 dengan menumpaskan Mercedes dalam perebutan kejuaraan pengeluar.

Meskipun pelumba Mercedes, Lewis Hamilton telah mengesahkan gelaran juara dunia kelima buat dirinya setelah mengetepikan pencabar terdekat dari pasukan Ferrari, Sebastian Vettel di Mexico, namun saingan untuk kejuaraan pengeluar masih terbuka.

Buat masa ini pasukan Mercedes sedang mengatasi Ferrari dengan kelebihan 55 mata namun dua perlumbaan akhir yang bakal berlangsung di Brazil dan Abu Dhabi nanti bakal menjanjikan 86 mata yang masih boleh direbut dan Ferrari dilihat berpeluang mencipta kejutan.

“Sebaik mengetahui anda tidak lagi mendominasi perlumbaan, sesetengah pelumba akan berasa kecewa namun tidak buat saya kerana saya bersemangat untuk ke Brazil dan beraksi di sana.

“Kami masih mempunyai peluang untuk mencipta kejayaan musim ini dan bagi saya selagi kami mampu bersaing itu sudah memadai.

“Kami perlu manfaatkan baki dua perlumbaan dan mengumpul sebanyak mata yang boleh dari perlumbaan tersebut. Bagi saya keputusan di Austin dan Mexico adalah sesuatu yang bagus dan saya harap ianya berterusan sehingga ke akhir musim,” kata Vettel.

Pemandu Jerman itu menegaskan bahawa pasukannya (Ferrari) tidak perlu hilang fokus kerana sudah terlepas gelaran kejuaraan pemandu kerana mereka perlu fokus menyediakan jentera terbaik bagi merebut kejuaraan pengeluar.

“Kami memiliki pakej yang bagus dan kami mampu untuk memenangi perlumbaan kerana fokus kami bermula sekarang adalah kejuaraan pengeluar.

“Saya sedar ianya musim yang sukar buat pasukan tetapi saya tetap positif dan memikirkan ianya masih lagi musim yang positif buat kami,” ujarnya lagi.

 

 

Foto : Facebook Scuderia Ferrari Formula 1

Sumber : The Guardian