Connect with:




Ledakan gol tunggal penuh emosi Riyad Mahrez ketika bertemu Tottenham Hotspurs di Wembley pagi tadi memastikan Manchester City kembali merampas takhta selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL).

Setelah mengharungi tujuh perlawanan terakhir dengan catatan enam kemenangan, City masih berjaya mengekalkan rekod bersih tanpa kalah dan memintas Liverpool selaku pendahulu menerusi kelebihan jaringan.

The Citizen mendahului seawal minit keenam perlawanan berpunca daripada kesilapan pertahanan Spurs, Kieran Trippier yang tersilap agak tendangan jarak jauh penjaga gawang City, Ederson Moraes mengundang padah apabila tandukan kurang tepat Trippier memberi ruang buat Raheem Sterling mencuri bola sebelum menggelecek ke kawasan penalti tuan rumah dari arah kiri pintu gol.

Lorongan cantik Sterling tidak disia-siakan Mahrez yang melepaskan rembatan leret menarik ke sebelah kiri pintu gol Spurs.

Mahrez yang merupakan bekas pemain Leicester City berkata ledakan gol kemenangan beliau itu didedikasikan khas kepada bekas majikannya, Vichai Srivaddhanaprabha yang terkorban nahas heliKopter Sabtu lalu.

Vichai yang merupakan pemilik kelab Leicester terbunuh apabila helikopter yang dinaikinya selepas tamat perlawanan menentang West Ham terhempas sebaik berlepas dari Stadium King Power.

Berita itu masih mengejutkan peminat bola sepak seluruh dunia dan jelas sekali ianya sukar diterima pemain Algeria itu yang telah menghabiskan empat musim bersama Leicester. Mahrez merupakan antara watak penting kisah dongeng kejayaan kelab itu menjulang trofi EPL musim 2016 di bawah bimbingan Claudio Ranieri.

Sebelum berhijrah menyertai City musim ini, Mahrez mempunyai hubungan sangat rapat dengan Vichai, yang disifatkan seorang individu yang tiada galang gantinya dan amat disayangi peminat Leicester kerana sikapnya yang mesra serta senang didekati.

“Ia sesuatu yang sukar, amat sukar buat saya. Terlalu sukar untuk mencari pemimpin seperti beliau, The ‘Boss’ adalah insan yang sangat istimewa dalam hidup saya,” kata Mahrez.

Sebaik menerima berita itu, Mahrez mengakui bahawa beliau seolah-olah ‘patah hati’ untuk turun beraksi bertemu Spurs namun beliau kuatkan diri untuk beraksi kerana yakin Vichai tidak mahu beliau berduka dan turun beraksi dengan baik.

“Saya menghabiskan empat tahun setengah di sana dan mempunyai banyak kenangan bersama Tuan Vichai. Beliau seorang individu yang sangat baik, saya pasti akan merindui dirinya.

“Saya terlalu sedih hinggakan hampir tidak mahu beraksi bertemu Spurs namun saya yakin beliau (Vichai) tidak mahu melihat saya meratapi pemergiannya dari atas sana. Kerana itulah setelah berhasil menjaringkan gol saya menunjukkan tangan ke langit sebagai tanda gol ini  didedikasikan kepada mendiang yang saya anggap seperti bapa sendiri,” jelas Mahrez lagi.

Sepanjang bersama Leicester, Mahrez merupakan antara pemain yang bersinar di sana dan dipilih sebagai Pemain Tahunan Terbaik PFA pada tahun sama Leicester menjulang trofi kejuaraan EPL.

 

Foto : Instagram Riyad Mahrez

Sumber : The Sun