Connect with:




 

Selepas 11 tahun bersama The Gunners, Aaron Ramsey terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat pasukannya itu selepas dia mengikat kontrak perjanjian selama empat tahun untuk menyertai Juventus secara percuma pada Julai depan.

Juara Itali itu turut memberitahu pemain antarabangsa Wales berusia 28 tahun itu akan tiba di Turin pada 1 Julai dengan permeteraian kontrak sehingga 30 Jun 2023.

Dalam pada itu, sebarang yuran perpindahan terhadap Ramsey juga tidak akan dibayar kelab A Series memandangkan kontraknya akan tamat pada hujung kempen ini.

“Untuk mendaftarkannya sebagai pemain, Juventus akan menanggung kos tambahan sebanyak 3.7 juta euro (RM17.01 juta), dan ia akan dibayar pada 10 Julai,” kata Juventus.

Sebagai rekod, Ramsey telah membuat 256 penampilan dalam saingan Liga Perdana Inggeris, menyandang tiga gelaran Piala FA dan mencetak 38 gol.

Selain itu, Ramsey juga turut membuat 58 kemunculan buat negaranya Wales, meledak 14 gol dan membantu pasukannya mara ke separuh akhir Euro 2016.

Dalam ucapannya di laman Instagram, dia meluahkan perasaan terharu dan berterima kasih kepada semua peminat Arsenal yang telah memberikan sokongan ke atasnya sebelum ini.

“Saya ingin meluahkan kenyataan peribadi kepada semua penyokong Arsenal  yang selalu memberi sokongan.

“Anda telah menerima saya ketika saya masih remaja lagi dan telah memberikan sokongan sehingga saya sampai ke tahap ini.

“Saya amat berat hati untuk meninggalkan kelab ini selepas 11 tahun mengharungi musim yang hebat di sini. Terima kasih.

“Saya akan terus memberikan persembahan 100 peratus dan berharap berada dalam prestasi terbaik sebelum membuka episod baru di Turin,” katanya.

Foto: Aaron Ramsey