Selepas mempamerkan permainan yang hambar pada pertemuan menentang pendatang baru, Selangor Pistons yang lalu, Terengganu Turtles berjaya melakukan kebangkitan semula dari kekalahan apabila merampas kedudukan pendahulu Sepaktakraw League (STL) Premier selepas tamat aksi minggu kedua di Stadium Majlis Perbandaran Serdang Jaya (MPSJ).

Terengganu Turtles berjaya menghancurkan rekod tanpa kalah juara bertahan, Penang Black Panthers dan menewaskan Johot Tigris dengan membariskan pemain yang berpengalaman seperti seperti Hanafiah Dollah, Zulkifli Razak dan Safarudin Abu Bakar.

Bagi Kuala Lumpur Thunder yang membuka tirai kejohanan tanpa kemenangan, akhirnya berjaya meraih kemenangan tanpa tewas sebarang set untuk memastikan mereak melonjak ke kedudukan ketiga.

Dibarisi pemain tonggak seperti Amirul Zazwan Amir, Idham Sulaiman dan Norhafizi Razak, KL Thunder menterjemahkan permainan yang jauh lebih baik dan bermula dengan kemenangan 2-0 ke atas Selangor Piston sebelum melengkapkan minggu cemerlang mereka dengan mengatasi Johor Tigris 2-0.

Foto kredit: Kobert