Para peminat bolasepak Terengganu pasti akan menunggu ketibaan perlawanan pembukaan Liga Super 2012 dengan penuh debaran untuk melihat sama ada kedua-dua pasukan dari negeri Sang Penyu itu mampu untuk memulakan cabaran dengan bergaya ataupun sebaliknya.

Pasukan Terengganu dan PBDKT T-Team masing-masing mengumumkan kontrak penajaan bersama beberapa buah organisasi dalam satu majlis yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Terengganu malam tadi.

Pasukan Terengganu terus menerima tajaan dari pengeluar pakaian sukan ‘Specs’ berjumlah RM300,000 yang akan membekalkan juara Piala FA 2011 dengan kelengkapan untuk perlawanan dan juga latihan untuk semua pasukan Terengganu.

Selain dari itu tajaan juga diterima dari syarikat teknologi maklumat tempatan, Top IT Industries Sdn Bhd berjumlah RM250,000 yang meneruskan penajaan mereka yang bermula dari kempen Piala Malaysia 2011 yang lalu.

Penaja-penaja lain ialah Syarikat Tiara Pesona Sdn Bhd yang mengendalikan perkhidmatan bas Ekspres Perdana dan Zaid Enterprise dengan masing-masing menyumbang sebanyak RM50,000.

Sementara itu jenama telekomunikasi ‘Happy’ juga diumumkan sebagai penaja pasukan Terengganu namun jumlah penajaannya hanya akan dimaklumkan dalam satu majlis yang lain.

T-Team pula terus bersama dengan pengeluar pakaian sukan tempatan ‘Admiral’ yang akan menaja semua pakaian pasukan kelab itu dengan jumlah penajaan sebanyak RM350,000. Ianya merupakan musim ke empat Admiral menaja pasukan kelab dari Kuala Terengganu itu.

Terengganu juga mengumumkan senarai 24 pemain yang akan telah didaftarkan untuk beraksi bersama mereka musim ini. Turut tersenarai ialah dua orang pemain import, Francis Doe dan Erison Da Silva ‘Baiano’ Santos Carnietto yang masing-masing berasal dari Liberia dan Brazil.

Turut memperkemaskan jentera pasukan Terengganu ialah ‘graduan’ dari pasukan Harimau Muda iaitu Muslim Ahmad, Abdul Shukur Jusoh dan Faizal Muhamad. Pemain pertahanan Hariri Mohd Safii kembali semula ke negeri kelahirannya selepas beraksi bersama pasukan Sabah musim lepas.

Penyerang Shamsul Kamal Mohamad pula menyertai pasukan Terengganu dari T-Team. Berikutan dengan pemilihan Shahril Sa’ari ke dalam skuad Harimau Muda yang akan bertanding dalam Liga S, Terengganu turut menamakan bekas pelajar Sekolah Sukan Terengganu, Mohamad Saifuddin Mokhtar sebagai salah seorang dari tiga penjaga golnya musim ini.

Sementara itu T-Team turut memperkenalkan pemain import mereka, Zachariah Simoukonda dan Borjan Petric di samping pemain-pemain lain yang baru menyertai pasukan tersebut. Antaranya ialah dua bekas pemain Selangor musim lepas, Fadzlie Shaari dan Iqbal Suhaimi.

Beberapa orang bekas pemain Terengganu turut kelihatan bersama dengan pasukan T-Team untuk musim yang akan datang, di antaranya ialah Mohd Hassan Basri, Wan Mohd Aliff Wan Jasmi dan Mohd Zharif Husna.

Peminat bolasepak no. 1 Terengganu, YAB Dato’ Seri Ahmad Said menyatakan harapannya untuk melihat kedua-dua pasukan memberi cabaran yang bermakna dalam arena bolasepak negara musim ini dengan menyasarkan dua piala oleh mana-mana pasukan berikutan pelaburan besar yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri.

Dengan pasukan Terengganu mencapai kejayaan yang cemerlang dalam musim 2011, Menteri Besar Terengganu itu juga berharap pasukan T-Team turut mampu untuk memberi cabaran yang lebih bermakna dalam Liga Super dan tidak lagi dibelenggu dengan masalah persembahan a-la ‘yo-yo’ yang menjadi faktor utama anak-anak buah Yunus Alif hanya mampu menamatkan saingan Liga Super di tempat ke tujuh sahaja.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah wakil-wakil portal media bolasepak Terengganu Ganusoccer.net, kelab-kelab penyokong Ultras Terengganu, Terengganu Fan Club dan Kelab Penyokong Peteh.