Terengganu berjaya menyekat Misi 33 Selangor selepas menyingkirkan pasukan Lembah Kelang itu dengan agregat 4-1 selepas memenangi perlawanan separuh akhir kedua 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Abdul Manaf Mamat dan Ashaari Shamsuddin menjadi wira buat Sang Penyu apabila jaringan-jaringan mereka meletakkan Terengganu dalam keadaan selesa, mendahului dengan empat gol secara agregat sebelum pemain kebangsaan, Safiq Rahim memecah kebuntuan gol Selangor, walaupun ianya sudah agak terlewat dengan permainan hanya tinggal tiga minit sahaja.

Pasukan tuan rumah dengan sokongan padu lebih dari sepuluh ribu orang penyokong mereka bermula garang dengan rangkaian tiga serangkai iaitu Manaf, Ashaari dan Abdul Hadi Yahya mengucar-kacirkan barisan pertahanan Selangor.

Namun pasukan pelawat yang terlebih dahulu menemui gawang apabila Rudie Ramli berjaya menewaskan penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee dari jarak dekat selepas menerima hantaran rendah dari Amirul Hadi Zainal.

Namun kegembiraan para pemain Selangor serta sejumlah kecil penyokong-penyokong mereka yang melakukan perjalanan pergi balik lebih dari 800km, disentap oleh kibaran bendera penolong pengadil yang mengisyaratkan bahawa Rudie berada dalam keadaan off-side ketika melakukan jaringan.

Seperti dikejutkan dari tidur, Terengganu terus menggandakan asakan. Ashaari dan Joseph Kalang Tie memaksa penjaga gol Selangor G. Jeevanathan bekerja keras untuk menghalang cubaan-cubaan mereka dari melepasinya.

Namun usaha berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Hadi berjaya menemui Ashaari di sebelah kanan. Penyerang itu melakukan hantaran lintang yang dikawal dengan baik oleh Manaf dan selepas memperdaya pemain Selangor, Razman Roslan, Manaf melepaskan satu rembatan rendah yang menewaskan Jeevanathan.

Stadium Sultan Ismail digegarkan oleh sorakan penyokong Terengganu yang ternyata agak resah menunggu gol tersebut. Malah mereka tahu, Selangor masih berupaya untuk menyekat kemaraan mereka ke final sekiranya berjaya menembusi barisan pertahanan yang diketuai oleh Mohd Mazuki Yusof.

Permainan kedua-dua pasukan terus seimbang di separuh masa kedua dengan pengadil Mohd Yusof Mat Karim menjalankan tugasnya dengan baik. Selangor terus berusaha dan pemangku ketua jurulatihnya, P Maniam memasukkan Amri Yahyah untuk memberi inspirasi kepada rakan-rakan sepasukannya.

Sebaliknya Terengganu yang berjaya melebarkan jurang jaringan apabila Ashaari membuat satu penyudah yang cantik pada minit ke 71. Beliau yang menerima hantaran dari Mazlizam Mohamad mengangkat bola sebelum melakukan ‘volley’ yang menewaskan Jeevanathan sepenuhnya.

Pujian harus diberikan kepada barisan pemain Selangor yang terus berusaha untuk mendapatkan gol. Akhirnya usaha mereka itu berjaya selepas Safiq yang tidak dikawal membuat larian dari tengah untuk menanduk masuk bola hantaran Amirulhadi.

Namun ianya sekadar saguhati sahaja kerana masa yang tinggal tidak memungkinkan Gergasi Merah untuk menjaringkan tiga lagi gol untuk mereka menang dengan jaringan gol di tempat lawan.

Sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan oleh Mohd Yusof, Stadium Sultan Ismail sekali lagi riuh dengan sorakan gembira para penyokong Terengganu yang meraikan kejayaan pasukan mereka ke final kedua musim ini.